KETUA pasukan, Mohd. Badhri
Radzi (dua dari kanan) antara pemain senior yang sentiasa diturunkan dalam
empat perlawanan Kelantan sebelum ini. - BERNAMA
24 Februari 2017 6:24 PM
KOTA BHARU 24 Feb. - Kelantan
akan merehatkan beberapa pemain utamanya apabila menerima kunjungan Selangor
dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV malam esok.
Ketua Jurulatihnya, Zahasmi
Ismail berkata, ia berikutan kebanyakan daripada kesebelasan utama seperti
Mohd. Badhri Radzi, Indra Putra Mahayuddin dan Nor Farhan Muhammad telah
beraksi empat perlawanan berturut-turut dalam tempoh dua minggu.
“Saya terpaksa menggilirkan
pemain-pemain berkenaan bagi mengelakkan mereka letih kerana kita mempunyai
jadual padat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Walaupun Kelantan tidak
menurunkan pemain berbisa mereka dalam perlawanan esok, Zahasmi yakin The Red
Warriors akan tetap memberi persembahan memuaskan, sekali gus mencipta
kemenangan di laman sendiri.
“Saya tahu keyakinan penyokong
mula terhakis terutama selepas kalah dua perlawanan berturut-turut di tempat
sendiri dan hanya kemenangan akan dapat mengembalikan sokongan penyokong kepada
kami.
“Justeru, The Red Warriors
perlu bangkit pada perlawanan malam esok walaupun kita berdepan antara pasukan
terbaik Liga Super musim ini,” katanya lagi.
Kelantan kini berada pada
kedudukan ke lapan Liga Super dengan memperoleh enam mata selepas empat
perlawanan iaitu dua menang dan dua seri. – BERNAMA
Sumber-UTTUSAN MALAYSIA ONLINE
24.2.2017
Tiada ulasan :
Catat Ulasan