25 Februari 2017 11:09 PM
KOTA BHARU 25 Feb. – Kelantan
terus dirundung malang apabila tewas 2-0 kepada Selangor dalam perlawanan Liga
Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di sini sebentar tadi.
PEMAIN Kelantan, Muhamad
Shahrul Hakim (kanan) diasak oleh pemain Selangor, Muhd. Syahmi Safari dalam
perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu sebentar tadi.
Selangor menang 2-0. -BERNAMA
Keputusan tersebut menyaksikan
skuad The Red Warriors tewas di gelanggang sendiri untuk kali ketiga
berturut-turut selepas dimalukan Kedah dan Melaka sebelum ini.
Selangor bermula garang apa
mendahului Kelantan seawal minit keempat hasil jaringan Juliano Fernandes yang
menyepak masuk selepas percubaan Victor Stelian Astafei gagal ditampan kemas
penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.
Pelawat terus mengasak dan
hampir memperoleh gol kedua pada minit ke-29 tetapi rembatan deras pemain
gantian Adam Nor Azlin di dalam kotak penalti ditepis keluar Khairul Fahmi.
Kerapuhan jentera pertahanan
Kelantan membuka ruang kepada Selangor terus mengasak namun ketangkasan Khairul
Fahmi di benteng berjaya menyelamatkan beberapa percubaan Selangor.
Selepas rehat, Fernandes
menambah derita Kelantan apabila menjaringkan gol kedua Selangor pada minit
ke-62 menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti yang sama sekali sukar
ditepis Khairul Fahmi. – UTUSAN ONLINE 25.2.2017
Tiada ulasan :
Catat Ulasan