Jumaat, 17 Februari 2017

Maafkan kami: TRW

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
16 FEBRUARI 2017
Norhafiz Zamani Misbah
Norhafiz Zamani Misbah
PEMAIN pertahanan Kelantan, Norhafiz Zamani Misbah memohon maaf kepada semua penyokong pasukannya susulan kekalahan di tangan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC pada pusingan kedua kempen Piala FA di Stadium Perak, Ipoh, malam kelmarin.

Norhafiz Zamani dipetik menerusi laman sosialnya mengakui, dia dan rakan-rakannya cukup kecewa setelah perjuangan The Red Warriors berakhir di fasa kalah mati itu.

ADVERTISING

inRead invented by Teads
“Ya ALLAH...besar harapan rakyat Kelantan diletakkan kepada kami tapi kami gagal jadikannya sebagai sesuatu yang menggembirakan. Hendak ditangisi, sudah terlewat. Takdir sudah tertulis...Kelantan (tersingkir awal).


“Kalau perkataan maaf tidak dapat melegakan kamu (penyokong) semua, maka kami rela dikritik selantangnya kerana sudah jelas sememangnya kami sudah gagal,” katanya.

Luahan Norhafiz Zamani atau Angah itu, tular dalam kalangan penyokong Kelantan menerusi aplikasi grup WhatsApp selepas skuad pantai timur itu tewas sepakan penalti 3-4 kepada PKNP FC.

Menerusi entri berkenaan, pemain berusia 36 tahun itu mengakui Kelantan tewas kepada PKNP FC, sebuah pasukan cukup bagus sekalipun mereka sedaya-upaya beraksi cemerlang, pada pertemuan itu.

“Mereka sangat bagus walaupun beraksi di Liga Perdana. Mungkin perkataan Angah ini mengundang sinis kepada kamu tetapi percayalah, kami tiada niat mahu menoreh hati penyokong dengan kegagalan ini,” katanya.

Justeru, pemain pertahanan serba boleh itu berjanji skuadnya akan bangkit memburu kemenangan apabila bertemu Kedah dalam saingan Liga Super, di laman sendiri, Sabtu ini.

“Insya-ALLAH, kami berjanji kepada kamu bahawasanya kami akan bangkit pada Sabtu ini. Tidak sanggup lagi kami mahu melukakan hati penyokong buat kali kedua. Cuma Angah harap kamu janganlah merajuk dan tidak mahu membuat lautan merah di gelanggang keramat kita. Sendatkanlah stadium kita dengan baju merah.

“Angah mewakili rakan sepasukan menyusun sepuluh jari memohon ampun kepada rakyat Kelantan. (Kepada) PKNP FC, kamu pasukan yang bagus dan berpotensi mara lebih jauh. Teruskan konsistensi, selamat maju jaya dan sekali lagi kepada rakyat Kelantan, maafkan kami,” katanya.

Sumber-Sinar Harian online 16.2.2017

Tiada ulasan :

Catat Ulasan