MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
14 FEBRUARI 2017
Kelantan tidak pandang mudah
keupayaan PKNP: Zahasmi Kelantan tetap menagih kudrat kaptennya, Mohd Badhri
apabila berdepan PKNP FC pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Perak, malam
ini.
KELANTAN tetap tidak memandang mudah pertemuan
menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC pada pusingan kedua Piala
FA di Stadium Perak, Ipoh, malam ini.
Jurulatihnya, Zahasmi Ismail
tampak mengambil pendekatan lebih berwaspada apabila tidak mahu melabelkan
pendatang baharu Liga Perdana itu sebagai ancaman kecil terhadap impian
pasukannya untuk melangkah lebih jauh dalam kempen kali ini.
“Misi Kelantan adalah layak ke
pusingan ketiga tetapi pertemuan malam esok (ini) kita tidak boleh pandang
ringan apabila bertemu kelab seperti PKNP FC ini kerana apa-apa sahaja boleh
berlaku dalam bola sepak.
“Ini adalah fasa kalah mati,
amat berbeza dengan saingan liga. Semua pasukan hendak menang tetapi hanya yang
terbaik akan layak, sebab itu saya rasa
Kelantan tidak boleh memperkecilkan kemampuan PKNP,” katanya semalam.
Justeru, pengendali berusia 51
tahun itu menegaskan dia tidak akan memperjudikan nasib dengan mempertaruhkan
pasukan kedua apabila berdepan skuad kendalian Abu Bakar Fadzim itu.
Menurutnya, sebarang percaturan
termasuk merehatkan beberapa tonggak utama boleh menjerat diri kerana PKNP FC
bukan sahaja diperkuatkan tiga awang import berkualiti, malah dibarisi ramai
pemain muda yang menampilkan aksi penuh bertenaga.
“Kita akan tetap mempertaruhkan
barisan terkuat. Tidak ada kesangsian mengenai perkara ini walaupun saya tahu
Kelantan terpaksa berdepan jadual perlawanan cukup padat sepanjang bulan ini,”
katanya.
Dalam perkembangan sama,
Zahasmi memberitahu, khidmat kaptennya, Mohd Badhri Radzi tetap ditagih bagi
mengemudi enjin tengah pasukannya bersama Morgaro Gomis selain pemain veteran,
Indra Putra Mahayuddin.
sumber-sinar Harian online 14
FEBRUARI 2017
Tiada ulasan :
Catat Ulasan