Jumaat, 22 Disember 2017

Selangor idam robek Kelantan

ARKIB : 28/02/2009
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
hesham.idris@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Jurulatih Selangor, K. Devan (gambar) mempunyai formula rahsia untuk merobek rekod bersih Kelantan di bawah bimbingan Peter Butler apabila dua pasukan teratas Liga Super itu berentap di Stadium Shah Alam, malam ini.

Menurut Devan, berdasarkan pengamatannya, Kelantan yang hanya 'dilabel sebagai kalah' selepas dihukum oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam perlawanan pertama musim ini, gah dengan enam kemenangan setakat ini kerana tidak pernah berdepan pasukan terkuat liga.

''Saya akui Kelantan sebuah pasukan yang bagus kerana memiliki barisan penyerang yang mempunyai penyudah tajam.

''Mereka banyak menjaringkan gol, namun dalam masa yang sama juga kerap bolos.

''Kelantan menang semua perlawanan liga setakat ini kerana berdepan pasukan yang boleh dikatakan pasukan sederhana sahaja, bukan pasukan terkuat liga seperti Kedah atau KL PLUS.

''Saya melihat formula kejayaan jurulatihnya, Butler adalah disebabkan ketajaman barisan serangannya.

''Untuk itu, saya sudah bersedia untuk menyekat Kelantan esok. Namun pertembungan esok satu perlawanan yang sukar buat kami.

''Pertembungan esok (hari ini) penting untuk membuktikan Selangor masih memiliki kualiti sebuah pasukan juara, juga untuk memberi keyakinan semula kepada penyokong kami,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Kelantan kini menerajui Liga Super dengan mengumpul 18 mata, Selangor kedua dengan 15 mata, berkongsi mata dengan Perlis di tangga ketiga.

Sementara itu, Butler berkata, dia turut menjangkakan pertembungan menarik di Stadium Shah Alam hari ini dan para pemain diarah supaya beraksi seperti biasa.

Jelasnya, kehadiran penyokong kedua-dua pasukan yang dijangka akan menawan Stadium Shah Alam, akan menghangatkan lagi perlawanan.

''Memang perlawanan esok diramal menarik, namun saya tidak akan membuat banyak perubahan dalam skuad ini.

''Kami akan beraksi seperti biasa dengan sasaran untuk meneruskan rentak kemenangan.

''Kemenangan ke atas pasukan handal seperti Selangor akan menambahkan lagi semangat kepada para pemain untuk kami lebih yakin mengharungi cabaran hingga ke hujung musim,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5232aQord

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan