ARKIB : 18/02/2009
PEMAIN Kelantan, Wan Zamani Wan
Mustapha (tengah) berusaha melepaskan diri daripada kawalan dua pemain Pahang
pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.
Kelantan menang besar 5-1. - UTUSAN/RUSHDI SALLEH
KUALA LUMPUR - Ketepi Selangor,
kini giliran Kelantan menerajui Liga Super.
Pasukan pantai Timur itu
menepati status selaku pasukan terbaik Liga Super apabila mengambil alih teraju
liga dari Selangor selepas membelasah Pahang 5-1 di Stadium Darul Makmur,
Kuantan semalam.
Kejayaan Kelantan menjadi
peneraju baru Liga Super dibantu kekalahan mengejut Selangor yang tersungkur di
gelanggang sendiri di Stadium Shah Alam 0-1 kepada UPB MyTeam.
Kelantan ternyata terlalu
handal buat Pahang apabila menjaringkan gol menerusi Khalid Jamlus (minit
pertama, m-74), Zainol Fitri Ishak (minit kesembilan), Mohd. Badri Mohd. Radzi
(m-61) dan Indra Putra Mahayuddin (m-62).
Pahang sekadar memperoleh gol
sagu hati pada minit ke-25 hasil jaringan Hasmizan Kamaruddin.
Kelantan kini unggul di puncak
liga dengan 18 mata selepas tujuh perlawanan.
Di Shah Alam, rentak cemerlang
anak buah K. Devan tercalar apabila dikalahkan oleh pasukan di kelompok bawah
liga, MyTeam hasil jaringan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-67.
Selangor yang jatuh di tangga
kedua dengan 15 mata, terpaksa berkongsi mata dengan Perlis yang naik ke tangga
ketiga selepas menang 2-1 di Stadium J-Corp, Pasir Gudang.
Skuad bimbingan Irfan Bakti itu
meraih tiga mata bermula dengan jaringan menerusi sepakan penalti Ahmad Fakri
Sarani di minit pertama, disusuli gol Mohd. Firdaus Faudzi enam minit kemudian
sebelum Johor FC cuba bangkit menerusi gol Mohd. Syaifol Sabtu di minit 57,
namun pelawat mempertahankan kedudukan sehingga perlawanan tamat.
Kejayaan Perlis melonjak di
tangga ketiga dari tempat kelima dibantu keputusan seri tanpa jaringan
perlawanan di antara Negeri Sembilan dan KL PLUS di Stadium Tuanku Abdul Rahman
Paroi, Seremban.
Juara treble, Kedah turut
memperbaiki kedudukan dari tangga kesembilan naik ke tempat ketujuh selepas
menundukkan KM Naza 2-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Mohd. Khyril Muhymeen
meletakkan Kedah di depan pada minit ketujuh, namun KM Naza bangkit mengikat
kedudukan menerusi Victor Andrag pada minit ke-30.
Badrol Baktiar muncul wira
apabila meledakkan gol kemenangan Kedah pada minit ke-51.
Pulau Pinang turut memperbaiki
kedudukan dengan naik satu anak tangga selepas menundukkan Polis 3-1 di Stadium
Negeri Batu Kawan.
Namun, pasukan pelawat memberi
kejutan menerusi gol awal Khairulzal Azmi pada minit kelapan.
Mohd. Nor Azlan memulakan
kebangkitan Pulau Pinang seawal minit ke-29, disusuli jaringan M. Prakash
(m-90) dan Mohd. Rafiuddin Roddin.
Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan
tuan rumah mencatat kekalahan keempat apabila tewas 0-1 kepada Terengganu
menerusi jaringan Hariri Mohd. Safli pada minit ke-56
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51qkhjGsF
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan :
Catat Ulasan