Khamis, 14 Disember 2017

Keyakinan Kelantan membara

ARKIB : 02/01/2009
KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) meletakkan sasaran awal berada dalam kelompok tujuh terbaik daripada 14 pasukan yang bersaing dalam mengharungi cabaran Liga Super bermula esok.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, skuad Kijang yang pertama kali berjaya melangkah ke liga itu telah diperkukuhkan dengan pemain berstatus bintang seperti Khalid Jamlus, Putra Indra Mahayuddin dan Nor Farhan Mohamad.

"Kita juga menerima seorang lagi ahli baru yang sebelum ini pernah berkhidmat bersama skuad Kijang iaitu Halim Napi yang akan menjadi penjaga gol ketiga.

''Halim telah menunjukkan prestasi yang baik ketika membantu Kelantan menjuarai Piala Emas Raja-Raja 2008 menundukkan Pulau Pinang 4-0 di Kota Bharu baru-baru ini," katanya di sini, kelmarin.

Menurut Annuar, biarpun Kelantan merupakan pendatang baru dalam arena Liga Super namun semangat yang ditunjukkan oleh anak buah Peter Butler dijangka dapat memberi saingan kepada pasukan yang lebih 'senior'.

"Saya yakin Peter Butler mempunyai resipi sendiri untuk menggilap para pemain agar mereka dapat mempersembahkan prestasi terbaik setiap kali turun padang bertemu lawan sama ada di laman sendiri atau tempat lawan," jelas beliau.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz51H0aIZCF

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan