Jumaat, 22 Disember 2017

Kelantan berdepan saingan sebenar

ARKIB : 27/02/2009
Oleh WAN ZULKIFLI YAACOB
sukan@utusan.com,my
KOTA BHARU - Setelah mengharungi tujuh perlawanan, Kelantan yang menunjukkan ia semakin sukar digugat, bakal berdepan dengan saingan sebenar, gergasi merah, Selangor, esok.

Kelantan yang melangkah ke Liga Super musim ini dengan penuh yakin mahu membuktikan ia tidak akan berterusan menjadi budak belasahan berdepan dengan pasukan Merah Kuning itu.

Ia mahu menamat badi kekalahan ke atas pasukan Selangor apabila beraksi di gelanggang lawan itu sejak 30 tahun lalu dan melebarkan kedudukannya di tangga teratas daripada digapai lawan.

Skuad Kelantan yang cuba diberi jolokan baru, 'Wira Merah' menjelang perlawanan menentang Selangor, esok sudah dipersiapkan dengan perancangan rapi termasuk dari segi pertarungan mental.

Malah, lebih 5,000 penyokong akan berarak ke Stadium Shah Alam termasuk menggunakan 20 buah bas untuk mengiringi perjuangan skuad Kijang.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, Kelantan mampu melakukan kejutan menewaskan pasukan Selangor berdasarkan prestasi membuak yang ditunjukkan kesebelasan pemain Kelantan pada masa ini.

Beliau akui rekod Kelantan di gelanggang lawan sebelum ini buruk tetapi skuad Kelantan pada musim ini merupakan yang terbaik dan tidak boleh diperlekehkan lagi.

''Bukan sesuatu yang mustahil Kelantan berjaya menamatkan badi kekalahan ke atas Selangor apabila beraksi di Stadium Shah Alam, Sabtu ini (esok)," katanya di Kota Bharu semalam.

Selain itu, Anuar berkata, kemenangan ke atas Selangor dalam perlawanan itu juga penting bagi mengukuhkan kedudukan Kelantan sebagai pendahulu Liga Super setakat ini dan juga melonjkkan moral pemain.

Bagi Annuar sekiranya Selangor dapat ditewaskan dengan bergaya, anak buahnya di bawah kendalian Peter Butler mampu menumpaskan pasukan mana sekalipun.

Bagaimanapun jelasnya, barisan pemain Kelantan tetap menghormati Selangor yang mempunyai barisan pemain muda yang hebat dan pasukan itu juga didapati ingin merampas semula sebagai pendahulu Liga Super .

''Pemain-pemain Kelantan telah berjanji akan mempamerkan persembahan yang terbaik bagi menjamin mereka dapat mengutip tiga mata penuh di gelanggang lawan," ujarnya



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5230puya9

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan