Khamis, 14 Disember 2017

Kelantan kalah percuma dalam 24 jam

ARKIB : 08/01/2009
KUALA LUMPUR - Tidak sampai pun 24 jam meraikan kemenangan sulung kelmarin, Kelantan dipaksa menyerahkan kemenangan percuma 3-0 kepada KL PLUS gara-gara tidak mengambil berat persediaan gelanggangnya, Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu bagi perlawanan pertama bola sepak Liga Super, Sabtu lalu.

Skuad Kijang atau kini mahu digelar Wira Merah ini turut kehilangan tiga mata daripada perlawanan tersebut yang gagal dikatakan dilangsungkan oleh tuan rumah atas alasan keadaan padang yang becak dan teruk serta ditakungi air ekoran cuaca hujan lebat di Kota Bharu, beberapa jam sebelumnya.

Tarikh baru perlawanan itu juga belum ditetapkan walaupun pada kebiasaannya, setiap perlawanan yang ditunda atas alasan cuaca perlu dilangsungkan dalam tempoh 24 jam selepas itu.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Lt. Jen. (B) Datuk Azzuddin Ahmad ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam berkata: "Kelantan didapati gagal membuat persediaan asas sebagai tuan rumah malah tidak memaklumkan kami lebih awal. Jadi kemenangan 3-0 dan tiga mata perlawanan itu diberikan kepada lawannya, KL PLUS."

Katanya, Kelantan bagaimanapun berhak mengemukakan rayuan atas keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM yang bersidang (petang semalam) dalam tempoh 14 hari.

Kelmarin, skuad bimbingan Peter Butler itu menewaskan UPB-MyTeam 4-2 untuk meraih kemenangan sulung tetapi keputusan FAM itu menurunkan negeri Pantai Timur ke tangga kelapan dari kelima selepas aksi di Stadium Petaling Jaya itu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz51ICFpjvB

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan