Khamis, 14 Disember 2017

Keputusan muktamad

ARKIB : 10/01/2009
Oleh BAZLI ABDUL RAHMAN
 
Azzuddin Ahmad (kanan) menerima memorandum daripada Marhashim Mat di Wisma FAM, semalam.
- Gambar NOORADZRENE MOHD NOOR

KUALA LUMPUR - Keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada KL PLUS dalam kempen Liga Super 2009 ke atas Kelantan adalah muktamad.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan undang-undang setelah merujuk laporan lengkap komisioner perlawanan.

"FAM bukan nak sewenang-wenangnya membuat keputusan itu. Ia diambil berdasarkan laporan jawatankuasa. Kalau kita tidak tegas dalam pendirian itu (berkaitan undang-undang), bermakna tiada guna ada peraturan. Keputusan FAM dalam kes ini berlandaskan peraturan yang ada," tegasnya pada sidang akhbar selepas menerima memorandum bantahan dari Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan di Wisma FAM di sini semalam.

Memorandum tersebut diserahkan oleh presiden kelab itu, Marhashim Mat yang turut menyaksikan kira-kira 100 penyokong skuad Wira Merah dari Kota Bharu turut mengiringi presiden mereka ke Wisma FAM.

Sabtu lalu, komisioner perlawanan memutuskan untuk menunda perlawanan antara Kelantan dengan KL PLUS pada keesokan harinya kerana padang di stadium tidak mempunyai garisan.

Namun kelmarin, FAM memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada KL PLUS atas alasan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) gagal menyediakan gelanggang perlawanan disebabkan keadaan padang yang becak dan teruk serta ditakungi air ekoran hujan lebat beberapa jam sebelumnya.

Gagal

Dalam pada itu, Azzuddin turut mendedahkan, selain padang becak, KAFA juga gagal menyediakan venue untuk perlawanan tersebut seperti yang terkandung dalam undang-undang.

Kata Azzuddin lagi, sebelum perlawanan yang dijadualkan malam Sabtu lalu, pegawai perlawanan telah memeriksa padang berkenaan sebelah siangnya dan mendapati padang itu tidak layak digunakan disebabkan garisan tidak ada (secara lengkap) atau tidak mengikut spesifikasi

"Malah, KAFA juga gagal menyediakan venue pilihan untuk membolehkan perlawanan dibuat dalam tempoh 24 jam disebabkan hanya Stadium Sultan Mohammed IV sahaja didaftarkan dengan FAM sebagai gelanggang tuan rumah," ujarnya.

Apa pun, Azzuddin turut memaklumkan, KAFA berhak mengemukakan rayuan atas keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM itu dalam tempoh 14 hari dan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah akan mempertimbangkan tindakan berkenaan atas budi bicara baginda.

"Setakat ini KAFA belum mengemukakan sebarang rayuan atas keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM itu," jelasnya.

Azzuddin turut menafikan laporan yang disiarkan oleh media tempatan semalam yang memetik sumber dari KAFA, kononnya FAM menghantar surat yang menyatakan perlawanan antara Kelantan dan KL PLUS ditunda ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

"Laporan tersebut tidak benar. FAM tidak pernah mengeluarkan surat berkenaan kepada KAFA," tegasnya.

Kongsi Konten di :
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51IhPbscn

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan