Jumaat, 22 Disember 2017

Kedah terselamat, Kelantan mengganas

ARKIB : 22/02/2009
 
PEMAIN Perlis, Nizaruddin Yussof (kiri) mengasak kapten PKNS, Ahmad Tharmini Saiban pada perlawanan Piala FA di Stadium MBPJ malam tadi. Perlis menang 2-1. - mINGGUAN/ Zulhafiz Hanafiah

KUALA LUMPUR - Jaringan penyamaan Baddrol Bakhtiar menyelamatkan juara bertahan, Kedah, daripada tersungkur di Stadium Darul Aman, Alor Setar untuk mengikat UPB-MyTeam 1-1 dalam perlawanan pertama pusingan kedua bola sepak Piala FA, semalam.

Tuan rumah ketinggalan dengan gol V. Saravanan pada minit ke-18 sebelum sayap kanan Kenari itu menyamakannya pada minit ke-78.

Pendahulu Liga Super musim ini, Kelantan pula seperti sudah mampu menguak pintu suku akhir apabila berpesta gol dengan membelasah Polis Diraja Malaysia (PDRM) 5-1 di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu.

Antara penjaring skuad Wira Merah ini ialah Khalid Jamlus (dua gol) dan Nor Farhan Muhammad yang meletakkan mereka selesa apabila bertandang ke gelanggang lawan.

Bekas juara empat kali, Selangor pula hanya mampu menewaskan Kuala Lumpur 1-0 dengan jaringan sendiri pemain tuan rumah, Azidan Sharudin pada minit ke-89 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Terengganu pula menyekat langkah garang pendahulu Liga Perdana 2009, Harimau Muda di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu dengan menumpaskan skuad bawah 20 tahun negara itu, 2-1.

Minit ke-22 menyaksikan Abdul Manaf Mamat menyamakan gol pendahuluan pelawat, Fadhli Shas, seminit sebelumnya manakala Ismail Faruqi Ashaari memastikan kemenangan dengan jaringan sepakan bebas pada minit ke-80.

Tidak jauh dari situ, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, T-Team menang dua gol tanpa balas ke atas Sarawak.

KM Naza mengikat Perak 1-1 di Stadium Perak, Ipoh manakala di Stadium Negeri, Batu Kawan, menyaksikan Pulau Pinang terselamat dengan terikat 1-1 dengan Negeri Sembilan. Perlis pula cemerlang 2-1 mengalahkan PKNS di Stadium Petaling Jaya.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51z61K2nq

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan