Khamis, 14 Disember 2017

Butler puas hati aksi pertama Kelantan

ARKIB : 08/01/2009
PETALING JAYA - Menang 4-2 di tempat lawan dalam perlawanan pertama Liga Super sudah cukup untuk membuatkan jurulatih Kelantan, Peter Butler berasa senang dengan pemainnya selepas mengalahkan UPB-MyTeam di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kelmarin.

Pengendali dari England itu berkata, pemainnya menunjukkan permainan yang menakjubkan walaupun pada suatu ketika ketinggalan 2-1.

''Saya berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan terutama pemain senior yang ternyata mempunyai pengalaman dan tidak gelabah untuk kembali bersaing walaupun ketinggalan,'' kata Butler dalam sidang media selepas tamat perlawanan kelmarin.

Jelasnya, walaupun agak kecewa kerana tidak dapat beraksi Sabtu lalu tetapi pemain tetap bersabar dan menyajikan permainan yang menakjubkan terutama pada separuh masa kedua.

''Ternyata mereka mempamerkan permainan berkualiti berdasarkan pengalaman yang mereka miliki dan menentang pasukan yang bagus seperti MyTeam.

''Saya juga berpuas hati dengan beberapa pemain muda terutamanya Mohamad Zamri Ramli, dia ternyata tidak kekok bergandingan dengan pemain yang lebih senior,'' kata bekas pemain West Ham United itu.

Namun Butler tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewanya selepas bolos dua gol pada separuh masa pertama.

''Saya kecewa sebab kami melepaskan dua gol pada separuh masa pertama tetapi pemain berjaya bangkit untuk menyamakan kedudukan seterunya meraih tiga mata.

''Ini adalah permulaan yang positif buat Kelantan dan kami perlu bekerja lebih keras jika mahu berada dalam kedudukan yang terbaik dalam Liga Super,'' kata Butler.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_12.htm#ixzz51IFwuJ9v

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan