Khamis, 14 Disember 2017

FAM nak lawan kuasa Tuhan?

RKIB : 09/01/2009
Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
 
KIRA-KIRA 100 penyokong skuad Kelantan mengadakan perhimpunan membantah terhadap keputusan FAM memberikan kemenangan percuma kepada KL PLUS di Stadium Sultan Muhammed IV, semalam.

KOTA BHARU - Kira-kira 100 penyokong skuad Kijang mengadakan perhimpunan di Stadium Sultan Muhammed IV di sini semalam bagi membantah keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia FAM yang memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada KL Plus kelmarin.

"Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) nak lawan kuasa Tuhan". Itulah antara luahan hati peminat pasukan bola sepak yang ditampilkan pada sepanduk yang dibawa sebagai tanda protes.

Setiausaha Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan, Muhammad Yatimin menganggap keputusan FAM itu sebagai satu episod malang bagi skuad kijang yang mula beraksi dalam Liga Super.

"Hujan lebat bukan disengajakan malah ia adalah kuasa Tuhan. Tindakan FAM ini seolah-olah cuba menentang kuasa Illahi.

"Sebagai penyokong setia pasukan kami tidak boleh terima kekalahan seperti ini lebih-lebih lagi ini adalah kali pertama pasukan kami beraksi di Liga Super," tegasnya ketika ditemui.

Sabtu lalu, komisioner perlawanan memutuskan untuk menunda perlawanan antara Kelantan dan KL PLUS pada keesokan harinya kerana padang di stadium tidak mempunyai garisan.

Pada keesokan harinya pula, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menerima surat daripada FAM bahawa perlawanan tersebut akan ditunda ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Namun kelmarin FAM memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada KL PLUS atas alasan KAFA gagal menyediakan venue perlawanan disebabkan keadaan padang yang becak dan teruk serta ditakungi air ekoran hujan lebat beberapa jam sebelumnya.

Selepas keputusan FAM itu, Setiausaha Agungnya, Leftenan Jeneral (B) Datuk Azzuddin Ahmad memberitahu, KAFA berhak mengemukakan rayuan atas keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM itu dalam tempoh 14 hari.

Seorang penyokong, Aidil Fitri Mohd. Adham, 26, dari Bachok berkata, keputusan FAM itu dianggap sebagai tidak adil kerana menjatuhkan kesalahan kepada pasukan tuan rumah walaupun pasukan pelawat juga bersetuju menangguhkan perlawanan.

"FAM cuba menunjukkan 'kuku besi' dengan membuat keputusan sendiri tanpa memanggil pengurusan pasukan Kelantan dan KL PLUS untuk memberi penjelasan.

"Kami boleh menerima hukuman tersebut sekiranya ia disebabkan lampu limpah tidak menyala atau gagal menyediakan pasukan keselamatan bukannya kerana hujan lebat," ujarnya kesal.

Dalam pada itu KAFA menyifatkan keputusan FAM memberi kemenangan percuma kepada KL PLUS atas dakwaan tidak mengambil berat persediaan gelanggang untuk perlawanan Liga Super Sabtu lalu ibarat 'dihukum tanpa bicara'.

Sambil menyatakan rasa terkejut terhadap keputusan itu, seorang jurucakap KAFA yang enggan dikenali berkata, pihaknya tidak dijemput untuk menghadiri mesyuarat bersama FAM bagi membela diri.

Katanya, pihak mereka tidak menjangka keputusan tersebut namun buat masa ini menetapkan pendirian menerima hukuman itu dan akan memikirkan tindakan selanjutnya dalam tempoh terdekat.

''Kami terkejut dengan keputusan FAM itu. Kami tidak jangka akan dikenakan hukuman kerana menyangka satu perlawanan lain akan diadakan. Sepatutnya perlawanan tempoh hari ditunda kerana ia tidak dapat dilangsungkan akibat hujan lebat sehingga padang dipenuhi air.

''Kami bukan sengaja enggan meneruskan perlawanan tetapi ia disebabkan masalah yang tidak dapat dielakkan. Satu Malaysia tahu Kelantan mengalami banjir ketika itu. Malah pasukan tuan rumah dan pelawat juga sudah bersedia untuk memulakan perlawanan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51IZhtccK

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan