Ahad, 18 Mac 2018

Ancam pulau Liga M


ARKIB : 11/04/2009
Oleh Abdul Hafiz Ahmad
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR – Terasa terlalu perit dengan hukuman berat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) angkara kelakuan ganas penyokong sendiri, Selasa lalu, Kelantan semalam menyuarakan kemungkinan untuk menarik diri daripada persaingan Liga Malaysia, musim ini.

Selain didenda dan dituntut ganti rugi lebih RM100,000, Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu pula digantung daripada melangsungkan perlawanan hingga Disember ini, memaksa Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) meletakkan kemungkinan paling drastik itu dengan mesyuarat majlisnya, bulan ini bakal menjadi penentunya.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa menegaskan, pilihan drastik ialah terpaksa berhenti bermain dalam Liga M.

“Jika kemampuan kewangan kami sudah tiada kerana terpaksa membayar denda dan ganti rugi sebanyak itu selain menanggung peningkatan kos apabila perlu sentiasa bermain di luar Kota Bharu, pilihan drastik sekali ialah terpaksa berhenti bermain Liga M.

“KAFA tidak dibantu kerajaan negeri dan tiada penaja dari segi kewangan dalam menggerakkan pasukan dan kami hanya bergantung kepada sumber dana yang terhad dan kutipan tiket perlawanan malah penggantungan stadium itu bererti kami bakal kehilangan hampir RM2 juta daripada pendapatan perlawanan musim ini.

“Ia bukan sahaja melibatkan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia bahkan Piala Presiden dan dua perlawanan persahabatan antarabangsa Pilihan Kelantan menentang Bawah 23 Tahun Brazil, bulan depan dan skuad kebangsaan Kuwait (November),” katanya pada sidang akhbar di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Secara berseloroh beliau menggelarkan Stadium Nasional, Darul Naim kerana Kelantan diarahkan menentang Selangor di gelanggang berkecuali dengan status tuan rumah dalam Liga Super, malam ini.

Annuar turut berpesan dalam kiasan kepada FAM: “Jika mahu memukul anak, janganlah sampai dia cedera atau mati.”

“KAFA tidak mahu sampai berhutang gaji pemain semata-mata untuk terus menyertai liga kerana kos lain seperti bas pasukan, tambang penerbangan dan sewa hotel bakal bertambah malah perlukan pembayaran tunai segera sedangkan kami tidak mampu.

“Jika dicampur RM100,000 itu dan levi 10 peratus kutipan tiket, RM200,000 untuk FAM bagi baki 20 perlawanan Liga M musim ini, kami sudah tiada apa-apa walaupun dengan pemberian geran tahunan mereka sebanyak RM300,000. Adakah FAM fikir semua ini sebelum menghukum kami?.”

Mengenai nasib pemain jika Kelantan benar-benar menarik diri, katanya: “Mungkin kami terpaksa ‘melelong’ mereka sebab tidak mampu bayar gaji atau pinjamkan kepada pasukan lain apabila jadual perpindahan pemain Liga M dibuka semula, bulan depan. Biarlah pasukan baru itu yang menggajikan mereka.”

“Buat masa ini, kami mahu pemain fokuskan separuh akhir kedua Piala FA menentang Negeri Sembilan di Seremban, 18 April ini dan selepas itu, KAFA akan mengadakan mesyuarat Majlisnya untuk membincangkan impak hukuman FAM itu dan penyertaan kami dalam Liga M.

Jelasnya, soal sama ada Kelantan akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman FAM bagi mengurangkan kadar denda itu juga tidak perlu dijalankan secara tergesa-gesa kerana mereka mempunyai tempoh dua minggu dan terserah kepada Majlis KAFA untuk memutuskannya.

Annuar bagaimanapun sempat berpesan supaya seluruh pasukan Wira Merah cuma memberikan tumpuan ke padang dengan memburu gol dan mengelak dibolosi manakala segala masalah di luar itu diserahkan sepenuhnya kepada budi bicara pengurusan pasukan.

“Mungkin juga ada hikmahnya kami ke Bukit Jalil kerana Stadium Sultan Muhammed IV yang keadaannya tidak seberapa, disewa antara RM30,000 hingga RM35,000 satu perlawanan sedangkan di sini, lebih murah dan jika mampu mengumpul RM10,000 semalam, ia mungkin memadai untuk terus membiayai pasukan.

“Bersabarlah sedikit dengan pasukan ini yang baru saya ambil alih sejak setahun setengah lalu. Kita tidak boleh selalu menang sampai tidak boleh kalah langsung terutama menentang Negeri Sembilan dan Selangor yang memang berpengalaman dan handal.

“Kita ada satu lagi perlawanan Piala FA, 18 April ini dan mampu ke akhir walaupun ketinggalan 1-0. Pasukan yang benar-benar mantap perlukan sekurang-kurangnya tiga tahun malah inilah kali pertama kita bermain Liga Super (selepas dinaikkan ke Liga Perdana dari musim lalu),” katanya.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0411&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5A9Y8JTM9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan