Isnin, 19 Mac 2018

Saya kecewa tidak dapat beraksi dalam babak akhir - Halim


ARKIB : 24/04/2009
Saya kecewa tidak dapat beraksi dalam babak akhir - Halim
PETALING JAYA - ''Saya kecewa kerana terlepas aksi final Piala FA." Demikian kata penjaga gol Kelantan, Halim Napi yang dihukum gantung tiga bulan oleh Lembaga Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana kesalahan disiplin, semalam.

Kerana kecewa, penjaga gol veteran itu yang turut didenda RM3,000 kerana mengasari pemain Negeri Sembilan Aidil Zafuan Radzak selepas perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Kota Bharu, 7 April lalu tidak akan menyaksikan rakan sepasukannya beraksi pada perlawanan akhir menentang Selangor, esok.

''Setelah bersama Kelantan sejak di awal musim, sudah tentulah saya kecewa kerana tidak dapat beraksi di perlawanan akhir akibat daripada hukuman ini,'' katanya ketika ditemui selepas menghadap Lembaga Tatatertib FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Pada awalnya, Halim dimaklumkan bahawa dia dihukum gantung enam bulan dan denda RM6,000.

Namun, pada sidang akhbar kemudiannya, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Kamarudin Abdullah memberitahu hukuman ke atas Halim sebenarnya adalah digantung tiga bulan dan denda RM3,000 kerana kesnya dibicarakan bukan di bawah pertuduhan kesalahan disiplin berulang.

Mengulas mengenai hukuman baru yang lebih ringan ke atas Halim, Ketua Pegawai Operasi Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Mohd. Noor Yaacob berkata, ia keputusan yang melegakan buat Halim dan KAFA.

''KAFA menerima keputusan tersebut namun Halim tetap terlepas beraksi perlawanan akhir (Piala FA).

''Melihatkan reaksinya, dia kecewa kerana sebagai pemain sudah pasti dia bercita-cita untuk menyarung jersi Kelantan di aksi akhir," katanya.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz5AGii3JLM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan