Ahad, 18 Mac 2018

KAFA kena bayar RM100,000


 
ARKIB : 10/04/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
PENOLONG Setiausaha KAFA, Arif Hassan (kanan) berkata sesuatu kepada Setiausaha Eksekutif KAFA, Zahari Zakaria (kiri) di luar bilik mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM, mengenai insiden penyokong pasukan Kelantan yang merusuh baru-baru ini, di Wisma FAM, semalam. – UTUSAN/MOHD. HATIM MAZLAN

PETALING JAYA – Orang lain yang makan cili, orang lain yang menanggung pedasnya menjadi perumpamaan tepat buat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) angkara kelakuan ganas penyokong mereka pada perlawanan Liga Super dan separuh akhir Piala FA baru-baru ini.

Persatuan pimpinan bekas Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Annuar Musa itu didenda lebih RM100,000 malah tambah parah ialah gelanggangnya, Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu digantung daripada melangsungkan sebarang perlawanan Liga Malaysia hingga 31 Disember ini.

‘Harga tinggi’ itu dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atas lima kesalahan dalam pertuduhan bagi perlawanan dengan Negeri Sembilan pada 31 Mac termasuk Selasa lalu untuk aksi Liga Super dan separuh akhir pertama Piala FA di gelanggang itu.

Kelmarin, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM mengarahkan Kelantan bermain di gelanggang berkecuali, Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk menentang Selangor dalam perlawanan Liga Super esok atas faktor keselamatan.

Pengerusi jawatankuasa itu, Kamarudin Abdullah berkata, selain denda dan penggantungan tersebut, KAFA juga diarahkan membayar sebarang tuntutan pemilik bas pasukan Negeri Sembilan yang dirosakkan penyokongnya pada 31 Mac sebanyak RM19,770.

“Mereka juga diarahkan menanggung segala kos kerosakan akibat kelakuan penyokong yang merosakkan dan memecahkan cermin stadium, kenderaan orang awam serta membakar dan menterbalikkan kenderaan polis di luar stadium, Selasa lalu,” katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Mengikut pecahan hukuman perlawanan 31 Mac, KAFA didenda RM5,000 bagi kesalahan pertama penyokong Kelantan yang membaling objek kepada pemain Negeri Sembilan dan pegawai perlawanan; didenda RM10,000 kerana mereka membaling botol terhadap pengadil kedua perlawanan; didenda RM25,000 kerana mereka membaling botol dan batu terhadap bas pasukan lawan.

“Bagi perlawanan separuh akhir Piala FA itu, KAFA didenda RM50,000 kerana penyokongnya merosakkan harta benda awam, individu dan polis iaitu hukuman lebih berat dan ia merupakan kesalahan berulang, justeru semua perlawanan akan datang dilarang diadakan di stadium itu,” katanya.

KAFA masih dibenarkan membuat rayuan dalam tempoh dua minggu mulai semalam tetapi FAM akan menyerahkan kepada Jawatankuasa Pertandingan Tempatannya untuk menetapkan gelanggang gantian buat Kelantan bagi baki perlawanan sepanjang Liga M musim ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad pula berkata, penjaga gol, Halim Napi yang didapati menyerang pertahanan Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Radzak selepas perlawanan Piala FA itu akan dihadapkan kepada Jawatankuasa Tatatertib, sedikit masa lagi.

“Bagi Tan Sri Annuar, kami masih perlu mengkaji butiran dalam surat penjelasannya, baru-baru ini dan bukti video kirimannya untuk memastikan sama ada wujud kes salah lakunya (memberikan kenyataan akhbar yang mempertikaikan mutu pengadilan perlawanan 31 Mac),” katanya.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5A9W5qnsH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan