Isnin, 19 Mac 2018

Shahrizan menanti dalam penuh debar


ARKIB : 24/04/2009
KOTA BHARU - Musim ini, nama Shahrizan Ismail menjadi sebutan selepas penjaga gol utama Kelantan, Mohd. Halim Napi digantung permainan.

Setelah beraksi cemerlang di Paroi ketika skuad Wira Merah menumpaskan negeri Sembilan 2-1, dia berdepan dengan bebanan cukup berat untuk memastikan gawang tidak mudah bolos dan membantu Kelantan menggapai impian muncul sebagai juara FA esok.

Bagi Shahrizan, ia suatu yang amat mendebarkan tetapi begitu teruja untuk bersama-sama mencipta sejarah bagi negeri Kelantan untuk menjulang piala yang hanya menjadi tontonan selama ini dan perlu dilakukan di gelanggang lawan.

''Buat pertama kali saya beraksi di peringkat akhir bersama pasukan negeri sendiri. Ia suatu yang mendebarkan tetapi saya begitu teruja kerana buat pertama kalinya Kelantan melangkah kaki," ujar anak jati Kota Bharu itu.

Selain memenuhi harapan seluruh rakyat Kelantan, beliau mempunyai misi tersendiri untuk dibuktikan kepada peminat bola sepak tanah air khususnya kepada Selangor bahawa mereka silap kerana hanya meletakkannya sebagai pemain simpanan semasa Red Giants layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia dan Piala FA tahun 2005.

"Saya pernah merasai pentas perlawanan akhir sebelum ini tetapi hanya sebagai pemain simpanan kepada pasukan Selangor.

"Oleh itu, dengan peluang beraksi kali ini, saya akan pastikan bekas pasukan saya itu berdepan dengan tembok besar terutama sekali dalam usaha mereka untuk mencari gol," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Shahrizan merupakan bekas penjaga gol simpanan pasukan Selangor ketika mencatat kejuaraan hatrik Liga Perdana, Piala Malaysia dan Piala FA tahun 2005.

Bercakap mengenai bahang perlawanan akhir Piala FA yang semakin hampir, katanya, semangatnya dan rakan-rakan cukup tinggi dan akan bermain habis-habisan bagi merebut peluang yang selama ini dianggap hampir mustahil.

Katanya, harapan tinggi disandarkan peminat Kelantan kepada mereka akan menjadi dorongan utama untuk semua pemain beraksi dengan baik dan melakukan tugas masing-masing.

"Semua pemain akan memberi tumpuan sepenuhnya untuk perlawanan itu. Tidak ada ruang untuk sebarang kesilapan jika mahu memastikan kejuaraan berjaya didakap," tegasnya.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Selangor, anak jati Kota Bharu ini percaya di atas kertas mereka hanyalah pasukan underdog oleh itu pasukan Red Giants akan lebih merasai tekanannya.

Kenyataan Shahrizan ini terbukti apabila pasukan Kelantan yang tewas 0-1 di Stadium Sultan Mohammed IV kepada Negeri Sembilan pada perlawanan separuh akhir pertama tetapi ya menebus kekecewaan itu selepas mencatat kemenangan 2-1 di gelanggang lawan dalam pertemuan kedua.

Selangor pula berjaya menewaskan pasukan Perlis dalam satu lagi perlawanan separuh akhir dengan agregat 3-2.

"Tidak dinafikan mereka pasukan pilihan kali ini. Walaupun pertemuan terakhir dalam Liga Super kedua-dua pasukan berakhir seri 1-1, namun kami tumbang 1-3 dalam perlawanan pusingan pertama di Stadium Shah Alam," ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5AGSe6CsO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan