Ahad, 18 Mac 2018

KAFA gantung Halim Napi


ARKIB : 09/04/2009
Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
utusankelantan@utusan.com.my
KOTA BHARU - Penjaga gol Kelantan, Mohd. Halim Napi (gambar) yang didakwa melakukan kekasaran kepada pemain Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abd. Razak sebaik tamat perlawanan Piala FA di sini kelmarin dikenakan tindakan gantung permainan.

Penjaga gol veteran itu digantung bagi satu tempoh yang tidak ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) agar tidak memburukkan lagi keadaan.

Ia diputuskan dalam mesyuarat tergempar jawatankuasa itu sejurus selepas perlawanan di Stadium Sultan Muhammed IV kerana tindak-tanduknya di padang sukar untuk terus dipertahankan.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, KAFA dan jurulatih Peter Butler bersetuju dengan keputusan ini kerana Halim dilihat secara sengaja menggunakan kekerasan pelawat.

"Kami sependapat bahawa soal disiplin dan etika bagi pemain KAFA perlu dijaga walaupun kita memerlukan penjaga gol yang baik dan ketiadaannya kelak merugikan. Namun kita terpaksa bertegas.

''Kami juga tidak mahu dicap sebagai bad loser," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam perlawanan kelmarin, Kelantan yang mencatat sejarah mencecah ke perlawanan separuh akhir (pertama) Piala FA, tewas 0-1 kepada Negeri Sembilan yang turut menyaksikan tindakan liar sebahagian daripada kira-kira 20,000 penyokong Kelantan yang membakar sebuah trak polis dan motosikal manakala sebuah kereta polis serta tujuh kenderaan lain rosak teruk.

Minggu lalu, kekecohan turut berlaku semasa perlawanan Liga Super antara kedua-dua pasukan di mana para penyokong membaling botol minuman dan mercun ke tengah padang ketika Kelantan tewas 1-2.

Dalam kejadian kelmarin, Halim didakwa menyerang pemain pertahanan Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abd. Razak di tengah padang sebaik tamat perlawanan.

Katanya, sikap pemain yang secara sengaja mengasari pemain pelawat bertentangan dengan semangat kesukanan dan tidak seharusnya ada pada setiap pemain KAFA.

"Kita pertaruhkan Halim dalam skuad musim ini kerana dia sudah belajar daripada pengalaman masa lalunya dan memberi jaminan ia tidak akan mengulanginya.

''Ternyata dia masih tidak dapat mengawal emosinya sedang sebelum perlawanan saya sudah memberi gambaran awal bahawa dia tentunya akan berdepan dengan provokasi penonton," ujarnya.

Namun kekecohan sebenar berlaku di luar stadium apabila penyokong mula bertindak balas terhadap pasukan keselamatan dan menurut Annuar, ia di luar pengetahuan pihaknya dan menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan.



sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5A9M9QU5k
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan :

Catat Ulasan