Ahad, 18 Mac 2018

Pemain Kelantan di tahap moral tinggi


ARKIB : 15/04/2009
Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my
KOTA BHARU - Biarpun kini dilanda pelbagai kontroversi, skuad Kelantan berjanji memberikan persembahan terbaik dalam separuh akhir kedua Piala FA menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Sabtu ini dengan impian melakar sejarah menggapai piala itu.

Kemenangan itu kelak akan dijadikan hadiah kepada penyokong sebenar Kelantan dan juga Mohd. Huzaifah Mohd. Noor, 18, yang buta sebelah matanya selepas tercedera dalam rusuhan selepas pertemuan pertama di sini minggu lalu.

Penolong jurulatih Kelantan, Hashim Mustapha berkata, para pemain dalam keadaan terbaik untuk mencipta kejutan dan sangat optimis untuk turun beraksi bagi mengutip kemenangan di gelanggang lawan dengan corak pemain yang bersih.

''Kemenangan di Paroi, Negeri Sembilan dan melayakkan diri ke final Piala FA adalah hadiah kepada seluruh peminat Kelantan terutama Mohd. Huzaifah yang juga peminat setia pasukan Kelantan," ujarnya.

Katanya, walaupun insiden buruk tercetus selepas perlawanan minggu lalu, skuad Wira Merah tidak terganggu dan mampu seri ketika menentang Selangor dalam kejohanan Liga Super selepas itu.

Hashim menyatakan demikian ketika bersama beberapa pemain Kelantan dan pengurusan melawat Mohd. Huzaifah yang masih lagi menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) tengah hari semalam.

Pada pertemuan pertama separuh akhir Piala FA, Kelantan tewas 0-1 kepada Negeri Sembilan yang kemudiannya dicemari dengan rusuhan penonton di luar stadium.

Kata Hashim, rekod pertemuan sebelum ini tidak akan menjadi halangan kepada mereka untuk mencipta kejutan ketika bertandang di gelanggang Rusa nanti biar pun kehilangan penjaga gol utama Halim Napi.

"Apa yang berlaku tidak akan menjejaskan tumpuan pemain kerana mereka mempunyai tahap moral yang tinggi. Shahrizan Ismail yang menggantikan Halim adalah seorang pemain yang baik dan sebelum ini juga dia telah memikul tugas selaku penjaga gol utama, jadi kita tidak mempunyai masalah. Dia tahu apa yang perlu dilakukan dan memiliki pengalaman yang luas.," katanya.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5AAP0eZxe
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan