Ahad, 18 Mac 2018

Peminat marah aksi Kelantan hambar


 
ARKIB : 02/04/2009
Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my
ARIF Hassan memegang kepalanya selepas dilontar dengan botol air minuman pada perlawanan Liga Super antara Kelantan dengan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV di Kota Bharu, baru-baru ini yang berkesudahan Kelantan dikalahkan 1-2.

KOTA BHARU - Apakah penonton perlu disalahkan di sebalik kekecohan ketika perlawanan di antara Kelantan dengan Negeri Sembilan sehingga menyebabkan permainan terhenti beberapa kali apabila padang 'dihujani' botol air mineral ketika saingan Liga Super malam kelmarin?

Faktor utama yang menyebabkan penonton berang adalah disebabkan persembahan pemain yang dianggap teruk dan melepaskan dua gol dengan mudah kepada lawan, bagaikan mengembalikan 'watak silam buruk' - tidak mempedulikan kemenangan asalkan dapat melepas geram.

Dengan enam kad kuning yang dilayangkan kepada skuad Kijang, cukup untuk menggambarkan keadaan ketika penyokong mengharapkan Kelantan tidak tersungkur di gelanggang sendiri dengan reputasi yang memuncak sebelum ini.

Ada yang turut menyalahkan pasukan keselamatan yang lambat bertindak dan pengadil gagal mengawal keadaan sehingga menyebabkan ada penonton mengamuk memecahkan cermin tingkap 'Land Rover' polis.

Penolong Setiausaha Kehormat KAFA, Arif Hassan mengakui sikap penonton Kelantan sukar dikawal ketika menghadapi saat-saat genting semasa pasukan ketinggalan kepada lawan.

"Saya akui memang susah hendak ubah sikap penonton kita sejak dahulu lagi memang begini tetapi saya percaya ia hanya segelintir sahaja. Mereka perlu belajar untuk menerima hakikat menang atau kalah dalam perlawanan.

"Sebenarnya perkara ini berlaku mereka merasakan pemain-pemain kita yang bermain sambil lewa sehingga menimbulkan kemarahan yang tidak boleh dikawal lagi, jika pemain beraksi dengan baik, meskipun kalah, ia tidak akan terjadi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Pada perlawanan tersebut, Arif yang bertindak sebagai koordinator stadium turut terkena botol mineral yang dibaling oleh penonton di kepala tetapi beliau tidak mengalami sebarang kecederaan.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV itu berakhir dengan kekalahan Kelantan 1-2 di tangan anak-anak buah Wan Jamak Wan Hassan.

Dua gol pasukan pelawat dijaringkan oleh Shahurain Abu Samah (minit ke-41) dan Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak (minit ke-62) sementara gol tunggal Kelantan dijaringkan oleh Indra Putra Mahyuddin (minit ke-79).

Kelantan kini berada di tangga ketiga di bawah Perlis dan Selangor dengan mengutip 21 mata manakala Negeri Sembilan berada di tangga keempat dengan 20 mata.

Perlawanan malam tadi tercemar dengan gelagat penyokong Kelantan yang membaling botol minuman dan mercun sehingga perlawanan beberapa kali terhenti sehingga memaksa pemain dan pengurusan Negeri Sembilan membuat bantahan kepada pengadil.

Polis turut menahan tiga pemuda yang berusia sekitar 20-an yang dipercayai membaling batu kepada kenderaan pacuan empat roda milik pasukan keselamatan itu sehingga pecah cermin tingkap.

Dalam pada itu, Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, penonton sama sekali tidak akan bertindak liar seperti membaling botol minuman dan membaling mercun ke tengah padang jika pengadil perlawanan, Shokri Nor adil dalam membuat keputusan.

"Saya tidak salahkan penonton tetapi mutu pengadilan yang lemah selain kegagalan polis bertindak pantas menyebabkan penonton bertindak liar membaling objek dan membaling mercun ke tengah padang sehingga pada satu ketika keadaan nampak tegang.

"Polis perlu dalam keadaan bersiap sedia untuk menangani sebarang keadaan dan saya mahu keadaan ini diperbetulkan selepas ini," katanya.

Sehubungan itu beliau menyerahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membuat keputusan dan pihaknya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan didenda atau sebaliknya.

"Tetapi dalam membuat keputusan FAM biarlah adil dan jika keadilan berlaku, KAFA tidak akan membantah," katanya.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0402&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5A77Pgal3
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan