Isnin, 19 Mac 2018

Halim Napi digantung tiga bulan, denda RM3,000


ARKIB : 24/04/2009
PETALING JAYA - Penjaga gol Kelantan, Halim Napi digantung tiga bulan dan denda RM3,000 manakala pengurus Selangor, Zakaria Ab. Rahim didenda RM6,000 setelah didapati bersalah atas tuduhan melanggar disiplin dan mengeluarkan kenyataan akhbar tanpa restu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Jawatankuasa Tatatertib FAM juga akan memanggil Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa setelah mesyuarat semalam mendapati wujud bukti prima facie ke atas Annuar yang memberi kenyataan kepada akhbar tanpa kebenaran FAM.

Memperincikan hukuman ke atas Halim, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Kamarudin Abdullah berkata, penjaga gol veteran itu didenda setelah mengaku salah atas tuduhan pertama iaitu memijak pemain negeri Sembilan Aidil Zafuan Radzak selepas perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Kota Bharu, 7 April lalu.

Menurutnya, tuduhan kedua iaitu perbuatan Halim itu telah mencetuskan tindakan penyokong yang membaling objek ke atas padang ketika perlawanan tersebut digugurkan kerana wujud elemen meragukan.

''Halim mengaku salah atas tuduhan memijak Aidil Zafuan tetapi mempertikaikan tuduhan bahawa dia menumbuk pemain itu.

''Denda yang dikenakan ke atas Halim pada awalnya ialah digantung enam bulan dan denda RM6,000 kerana kesnya dibicarakan di bawah pertuduhan kesalahan berulang.

''Namun, setelah disemak semula, lembaga memutuskan kes Halim bukan kesalahan berulang dan denda ke atasnya disemak semula.

''Hukuman yang dijatuhkan ke atas Halim juga mengambil kira faktor bahawa beliau telah digantung oleh KAFA,'' katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM Kelana Jaya, semalam.

Bagi kes Zakaria, Kamaruddin menjelaskan, pengurus Selangor itu mengaku bersalah kerana mengeluarkan kenyataan di akhbar yang disiarkan di akhbar pada 4 April lalu.

''Zakaria mengaku bersalah di atas tuduhan tersebut dan beliau telah merayu. Lembaga Tatatertib menerima rayuan Zakaria dan beliau diberi amaran serta denda RM6,000,'' katanya.

Kamarudin turut mengumumkan Annuar akan dipanggil mengadap Lembaga Disiplin FAM setelah mesyuarat semalam mendapati wujud kes prima facie kerana memberi kenyataan akhbar yang disiarkan di akhbar-akhbar tempatan pada 2 April lalu.

Annuar mengkritik pengadil dalam satu sidang akhbar dengan menyalahkan ia sebagai punca penyokong Wira Merah melempar objek ke padang Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu dalam perlawanan Liga Super menentang Negeri Sembilan pada 31 Mac lalu.

''Lembaga Tatatertib akan mengumumkan tarikh untuk memanggil Annuar,'' katanya.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz5AGUCxITY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan