Isnin, 19 Mac 2018

Kelantan turun habis-habisan – Butler


ARKIB : 24/04/2009
BAHANG pertemuan perlawanan akhir Piala FA antara Selangor dengan Kelantan makin terasa dan ramai yang beranggapan peluang keduanya seimbang berasaskan kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Hanya pasukan yang bermain dengan lebih baik akan muncul sebagai juara dengan keinginan Kelantan ternyata lebih besar apabila inilah kali pertama setelah hampir empat dekad, Kelantan melangkah ke final dalam kejohanan berprestij negara.

Tentunya pada Sabtu ini, Stadium Nasional Bukit Jalil akan menjadi medan percaturan strategi antara dua jurulatih terkemuka, Peter Butler yang berasal dari Eropah dan K. Devan, seorang jurulatih tempatan.

Wartawan RODELIO JUNJUN TAUCAN meninjau pandangan bekas pemain West Ham United ini tentang anak-anak buahnya.

Utusan: Ada yang melihat perlawanan akhir ini pertembungan keupayaan antara jurulatih import dengan jurulatih tempatan. Apa komen anda?

BUTLER: Devan merupakan antara jurulatih yang amat bagus di negara ini. Beliau telah memberi sumbangan yang amat besar dalam bola sepak Malaysia dan juga amat berpengalaman.

Jika dibandingkan saya memang lebih muda daripadanya, namun saya berasal dari Eropah di mana saingan bola sepak di sana amat kompetitif. Oleh itu saya juga tahu bagaimana menghadapi situasi perlawanan akhir seperti ini.

Apa kelebihan Kelantan berdepan Selangor yang merupakan sebuah pasukan dengan tradisi selalu layak ke perlawanan akhir di negara ini?

BUTLER: Kelantan memang adalah pasukan baru yang dikuatkan oleh dua atau tiga pemain berpengalaman. Selangor pula merupakan antara pasukan gah di negara ini. Bagaimanapun Kelantan tidak akan takut dan pemain akan menunjukkan semangat juang sehingga ke wisel penamat. Kami akan terus menyerang mereka.

Biarpun Selangor mempunyai ramai pemain yang bagus dan menjadi kerap ke perlawanan akhir tetapi corak permainan Kelantan kini memberikan kelebihan. Dalam bola sepak kita memperkatakan siapa yang lebih baik.

Apakah anda yakin dengan prestasi anak buah anda?

BUTLER: Saya sangat yakin... seperti saya katakan saya berasal dari Eropah, oleh itu saya tahu bagaimana mahu mempersiapkan pasukan saya untuk menghadapi setiap perlawanan. Saya harap prestasi terbaik pasukan ini akan terus berkekalan kerana banyak lagi piala yang ingin kami menangi.

Apa maknanya kemenangan ini bagi anda yang berjaya membawa Kelantan ke perlawanan akhir pertama dalam sejarah?

BUTLER: Saya sangat bangga dengan pencapaian ini. Namun, saya tahu tanggungjawab saya masih belum selesai selagi Kelantan belum berjaya mendakap piala tersebut. Saya juga realistik dengan peluang Kelantan dan yang pasti pemain akan bermain mati-matian.

Di mana kelemahan Selangor?

BUTLER: Semua pasukan ada kelemahan tidak terkecuali Selangor. Namun, Selangor juga mempunyai kekuatan sendiri. Bagaimanapun saya tidak mahu bercakap mengenai pasukan lawan kerana saya ada pasukan sendiri.

Kami cuma hormati mereka sebagai lawan kami begitu juga mereka perlu menghormati kami. Di atas padang nanti Kelantan akan kekal dengan corak menyerang.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5AGR7H6Nl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan