Selasa, 20 Mac 2018

Kelantan mahu buat kejutan


 
ARKIB : 25/04/2009
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
hesham.idris@utusan.com.my
PETER Butler (kiri) dan K. Devan berjabat tangan di samping Piala FA menjelang perlawanan akhir malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. – UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

KUALA LUMPUR – ‘‘Kami mampu mengejutkan anda!’’ Itu amaran jurulatih Kelantan Peter Butler yang ditujukan kepada Selangor menjelang perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Menurut jurulatih yang berasal dari England itu, pasukannya akan beraksi tanpa tekanan walaupun menyedari Selangor bukan calang-calang lawan.

Tanpa mendedahkan strategi yang akan digunakan pada perlawanan hari ini, Butler sekadar berkata, Kelantan akan bermain seperti biasa.

Cuma katanya, dia mengharapkan tuah pertembungan ketiga dengan Selangor musim ini pada perlawanan akhir hari ini, kemenangan akan menyebelahi Kelantan pula.

‘‘Kami kalah 0-3 pada pertemuan pertama dalam Liga Super namun seri 1-1 pada perlawanan kedua.

Untuk itu saya harap kemenangan akan menyebelahi Kelantan pada perlawanan ketiga kami dengan Selangor.

Namun ia bukan mudah. Menerusi seorang kawan di London, saya diberitahu bahawa Selangor sebuah pasukan yang kuat.

Saya juga mendapat tahu daripada bekas pemain Selangor, Tony Cottee bahawa Selangor secara tradisinya sebuah pasukan juara, standard pasukan ini begitu tinggi. Ia diurus dengan baik.

Namun saya yakin kami mampu mengejutkan Selangor,’’ katanya pada sidang akhbar pra perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Tambah menceriakan Butler apabila semua pemainnya berada pada tahap kecergasan terbaik.

Katanya, Kelantan akan beraksi secara berpasukan dan bukannya digerakkan oleh pemain tertentu sahaja.
Saya mengarahkan pemain supaya beraksi seperti biasa.Kami Optimis menghasilkan keputusan baik esok cuma saya berharap pemain mengawal emosi.
Kami akan cuba memberi tentangan pada perlawanan esok, saya menjangkakan ia pertembungan hebat lagi menghiburkan

Perlawanan esok (malam ini) perlu dinikmati oleh pemain, penyokong dan peminat bola sepak negara ini, katanya.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0425&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5AH38cvKd
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan