Selasa, 20 Mac 2018

Para jurulatih pilih Kijang julang Piala FA


ARKIB : 25/04/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Kelantan menjadi pilihan kebanyakan jurulatih Liga Malaysia untuk membawa pulang trofi persaingan kalah mati kebangsaan, Piala FA berbanding Selangor pada perlawanan akhir edisi ke-20 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Mereka turut meramalkan keputusan 2-1 bakal berpihak kepada skuad Wira Merah berdasarkan semangat dan keinginan membara mereka selain prestasi semasa di atas padang sekali gus bakal mencipta sejarah bola sepak tanah air.

Tanpa sesekali menidakkan kemampuan Selangor selaku jaguh berpengalaman khususnya dalam perlawanan akhir peringkat tertinggi ini, para jurulatih turut sepakat bahawa kejayaan Si Kijang mampu mencetuskan fenomena dan impak besar kepada sukan popular Malaysia ini.

Kata jurulatih PKNS, Abdul Rahman Ibrahim: "Saya percaya jika Kelantan menang maka 'meletuplah' bola sepak bukan sahaja di negeri itu bahkan seluruh negara. Ramai pemain berbakat di Kelantan dulu tidak terserlah tetapi kini bakal berubah.

"Jika Selangor atau pasukan lain yang sudah biasa masuk perlawanan akhir menang, bola sepak kita tidak ke mana kerana corak permainan Kelantan lebih menarik dan lebih menghiburkan walaupun gawang mereka mudah dibolosi lawan," kata bekas jurulatih kebangsaan 1999-2000 ini.

Turut sependapat ialah jurulatih Perak, M. Karathu yang berkata: "Kelantan lebih bersemangat sedangkan Selangor yang kerap memenangi piala ini. Bayangkan kali terakhir Kelantan ke perlawanan akhir peringkat tertinggi ialah Piala Malaysia 1970, pasti mereka mahu mencipta sejarah.

"Dengan dorongan itu, Kelantan mampu menang 2-1 malah kejayaan mereka bakal membawa kebaikan buat bola sepak negara apatah lagi jika dengan kehadiran 30,000 penonton seperti setiap perlawanan di Kota Bharu lalu," kata bekas ketua pasukan Perak ini.

Turut meramalkan 2-1 menyebelahi Kelantan ialah bekas jurulatih negara, B. Sathianathan sambil menganggap perlawanan akhir kali ini tidak akan terheret ke masa tambahan dan penentuan sepakan penalti sekalipun kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan tersendiri dan kadangkala seimbang.

"Beza antara mereka ialah cuma pertahanan dengan Kelantan mudah dibolosi walaupun garang menyumbat gol sedangkan Selangor lebih kuat di posisi itu. Ada kalanya dalam perlawanan akhir yang sehebat dan segenting ini, tuah bakal memainkan peranan.

"Saya tertarik dengan Amri Yahyah - dia pemain Selangor paling konsisten setakat ini dan jika bukan kerana peraturan senarai awal AFC (Gabungan Bola Sepak Asia), saya memang mahu memilih ketua pasukan Kelantan, Badhri Radzi ke Kelayakan Piala Asia 2011, Januari lalu," katanya.

Mereka turut meletakkan Badhri, Indra Putra Mahayuddin, Khalid Jamlus dan Nor Farhan Muhammad sebagai tonggak Kelantan yang perlu diawasi khususnya benteng Gergasi Merah dibarisi Khairul Anuar Baharom, Razman Roslan, Asraruddin Putra Omar dan D. Surendran.

Azraai Khor Abdullah, jurulatih Kedah yang menghampakan Selangor 3-2 dalam perlawanan akhir tahun lalu, memilih Merah Kuning sebagai bakal pemilik Piala FA 2009 dengan kemenangan 2-1 berdasarkan pengalaman kerap beraksi pada peringkat segenting dan setinggi ini.

"Selangor lebih bersedia dan seimbang dalam bertahan dan menyerang malah mampu menyekat Kelantan yang banyak menjaringkan gol tetapi juga mudah dibolosi lawan. Amri memiliki kemahiran individu yang baik dan berpengalaman luas," kata bekas pemain negara 70-an ini.

Jurulatih Kuala Lumpur, Razip Ismail berkata, Selangor yang mengalahkan anak buahnya dalam pusingan kedua, bakal menjulang Piala FA namun tidak menolak kemungkinan bahawa mereka masih memerlukan masa tambahan mahupun penentuan sepakan penalti untuk memastikannya.

"Kedua-dua pasukan sama hebat dan sama handal malah hanya sesiapa yang kurang kesilapan, mampu muncul juara. Sekalipun Stadium Nasional dijadikan gelanggang sendiri Kelantan, Selangor dijangka memiliki lebih ramai penyokong kerana mereka lebih dekat, sekali gus menjadi satu lagi kelebihannya.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0425&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5AH2Ft9v6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan