ARKIB : 20/04/2009
Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my
PENYOKONG-penyokong Kelantan
menyambut kepulangan skuad negeri itu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra
di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU - Sambutan bagaikan
juara! Itu yang diterima oleh para pemain pasukan Kelantan yang melakar sejarah
layak ke perlawanan akhir Piala FA setelah menanti sejak 39 tahun untuk
menjulang salah satu piala kebanggaan di peringkat negara.
Mereka dikejutkan dengan sambutan
penyokong setia dari Kelab Penyokong Kelantan di Lapangan Terbang Sultan Ismail
Petra kira-kira pukul 3.30 petang, semalam setelah pulang dengan menewaskan
Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, kelmarin.
Presiden Kelab Penyokong
Kelantan, Harun Ali berkata, sambutan itu diadakan bagi meniup semangat para
pemain supaya memberikan aksi terbaik pada perlawanan akhir Sabtu ini.
"Mereka telah mencatatkan
sejarah yang sekian lama ditunggu-tunggu oleh peminat setia pasukan ini. Jadi
sambutan ini hanya penghargaan kami kepada mereka kerana menunjukkan semangat
juang yang tinggi walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah di luar
padang.
"Kami amat berharap supaya
mereka beraksi dengan baik pada perlawanan akhir dengan Selangor di Stadium
Nasional, Bukit Jalil," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Ismail
Petra di sini, semalam.
Pada perlawanan, kelmarin
strategi utama Wira Merah berjaya membuahkan hasil walaupun terpaksa bertarung
di gelanggang lawan dekat Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan.
Kelantan layak ke perlawanan
akhir selepas menang 2-l ke atas Negeri Sembilan menjadikan agregat 2-2 dan
mara dengan peraturan jaringan di tempat lawan.
Kejayaan ke perlawanan akhir
Piala FA sangat manis bagi pasukan tersebut kerana mereka terpaksa menempuh
kepayahan termasuk tidak dapat beraksi di gelanggang sendiri sehingga ke
penghujung musim.
Malah, mereka juga terpaksa
melupakan penjaga gol berpengalaman, Halim Napi yang digantung sehingga satu
tempoh yang belum ditetapkan lagi.
Dalam pada itu, hero Wira Merah,
Indra Putra Mahayuddin yang menjaringkan gol kemenangan pasukan itu berkata,
kekentalan kesemua barisan pemain yang beraksi tanpa mengenal erti kalah
menjadi kunci kemenangan yang penuh gemilang malam, kelmarin.
"Kita juga terkejut dengan
gol awal daripada tuan rumah tetapi terus bermain dengan tekad untuk mencipta
kemenangan.
"Mujur kita mampu bertahan
dengan baik dalam penuh tekanan dan pada masa yang sama berjaya menghasilkan
gol untuk memberi kelebihan kepada kita," tambahnya.
Tambahnya, semua pemain pasukan
tersebut berada pada tahap moral tertinggi untuk bertemu dengan Selangor pada
Sabtu ini dan mahu menyiapkan sejarah yang mula dilakar.
Katanya, semangat anggota pasukan
membara untuk memberikan hadiah paling bermakna untuk rakyat Kelantan yang
mencintai sukan bola sepak
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5ACsBz7Bu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan :
Catat Ulasan