SABTU, 17 DISEMBER 2016 @ 3:31
PM
Oleh Azidan Nahar
azidan@bh.com.my Hairuddin Omar
KUALA LUMPUR: Pemain Kelantan akan berdepan
masalah besar sekiranya pasukan itu tetap dengan keputusan menarik diri
daripada saingan Liga Malaysia (Liga M), musim depan jika tiada penyelesaian
dapat dilakukan secepat mungkin.
Presiden Persatuan Pemain Bola
Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar berkata, jika pemain Kelantan
mahu berpindah ke pasukan lain, pelbagai perkara perlu diselesaikan termasuk berkaitan
kontrak.
"Kebanyakan pasukan yang
bermain dalam liga ketika ini sudah (ada senarai) penuh (pemain). Kalau ada pun
kosong ia hanya pasukan biasa-biasa saja," katanya ketika dihubungi BH
Online, sebentar tadi. Semalam, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memutuskan
untuk menarik diri kerana tidak mampu menyediakan dana yang mencukupi untuk
pengurusan skuad Kelantan dalam menghadapi saingan Liga M musim 2017.
Setiausaha KAFA , Datuk Ismail
Md Noor, berkata mesyuarat khas EXCO KAFA yang diadakan kelmarin sudah
mengambil kata sepakat bahawa Kelantan tidak mampu dan terpaksa menarik diri
pada musim hadapan. Bagaimanapun katanya, keputusan terakhir akan dibuat
menerusi kongres luar biasa yang diadakan pada 29 Disember nanti sekiranya
berlaku keajaiban hingga mengubah keputusan asal.
Hairuddin menjelaskan, pihak
yang mahu mengambil pemain Kelantan juga perlu menyelesaikan masalah kontrak
yang mungkin masih berbaki dengan pasukan lama dan itu akan turut menimbulkan
banyak masalah. Katanya, jika Kelantan mahu meminjamkan pemain mereka kepada
pasukan lain, masih wujud masalah kerana pasukan lain juga sudah cukup pemain
dan ia juga membabitkan kos lain seperti gaji dan sebagainya.
Berikutan itu, menurut Hairuddin, Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pengendali Liga Malaysia, Usahasama Liabiliti
Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) perlu mencari penyelesaian segera.
"Saya positif masalah ini
sedang diuruskan sedaya upaya oleh pihak terbabit. "Mereka perlu buat apa
saja kerana adalah satu kerugian pada pemain dan pasukan kerana pasukan
Kelantan ada penonton yang ramai, kemeriahan Liga M akan hilang jika tiada
pasukan Kelantan," katanya.
Dalam perkembangan yang sama,
Hairuddin menasihatkan pemain supaya meneruskan latihan seperti biasa kerana
penyelesaian kepada perkara itu masih belum diputuskan. "Jika Kelantan
menarik diri, mereka perlukan masa yang lama untuk kembali ke tahap seperti
ini. Mungkin tiga hingga empat tahun, kerana itu semua pihak perlu mencari
penyelesaian terbaik.
"Jika pasukan Kelantan
perlu berhutang, mereka perlu melakukannya kerana bagi saya pasukan ini tidak
boleh menarik diri kerana kesannya amat besar bukan saja kepada pemain tetapi
kepada bola sepak Malaysia secara keseluruhan," katanya
Selanjutnya di :
http://www.bharian.com.my/node/224704
Tiada ulasan :
Catat Ulasan