Ahad, 25 Disember 2016

Tagih KAFA selesai segera kemelut

 
APEX (tengah) optimis KAFA mampu mengatasi kemelut kewangan yang melanda skuad The Red Warriors ketika ini.

PENJAGA gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat mahu masalah kewangan yang membelenggu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) ketika ini diatasi segera.

Menurutnya, ia perlu bagi memastikan skuad The Red Warriors dapat membuat persediaan rapi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2017.

Khairul Fahmi yang mesra de­ngan panggilan Apex mengakui masalah itu sedikit sebanyak mengganggu emosi pemain tetapi yakin ia mampu diatasi oleh pe­ngurusan pasukan.

“Kami (pemain) sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Sekiranya keputusan kurang positif dicapai pada 29 Disember ini, saya harap KAFA masih meng­utamakan kebajikan pemain yang telah banyak berjasa selama ini,” katanya.

Khairul Fahmi baru dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik buat kali kelima pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016, Jumaat lepas.

Sebagai rekod, Khairul Fahmi pernah memenangi anugerah sama dari 2010 sehingga 2013.

Menurut Khairul Fahmi, skuad Kelantan giat menjalani latihan pra-musim di bawah kendalian Zahasmi Ismail yang merupakan bekas pemain pasukan itu pada era 1990-an.

KAFA dilaporkan mahu menarik diri daripada Liga M 2017 memandangkan persatuan itu hanya mempunyai RM800,000 hasil sumbangan penaja kecil sedangkan mereka memerlukan kira-kira RM15 juta untuk kos keseluruhan pasukan tersebut.

Keputusan terakhir sama ada Kelantan akan menarik diri daripada menyertai Liga M musim depan akan dibuat menerusi Kongres Luar Biasa KAFA pada 29 Disember ini.

Football Malaysia Limited Lia­bility Partnership (FMLLP) menetapkan tempoh akhir pendaftaran pasukan untuk Liga M 2017 pada 31 Disember. – Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1226&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4TtcYN6Zf Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan :

Catat Ulasan