Khamis, 22 Disember 2016

Dua syarikat setuju jadi penaja Kelantan

YATIMIN ABDULLAH  |  23 Disember 2016 12:09 AM
Omar Ali
Omar Ali
KOTA BHARU 22 Dis. – Harapan penyokong Kelantan untuk melihat pasukan mereka bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) musim depan mendapat suntikan semangat baharu apabila dua buah syarikat bersetuju untuk menjalin hubu­ngan strategik dengan The Red Warriors dengan salah satu daripadanya berhasrat menjadi penaja utama.
Sebuah syarikat milik bumiputera, OAR Teguh Sdn. Bhd. akan memberikan tajaan dalam bentuk wang tunai manakala syarikat telekomunikasi Red One meluahkan kesediaan menjadi penaja utama untuk musim 2017 yang dikatakan bernilai jutaan ringgit.
Pengasas dan Pengarah Urusan OAR Teguh, Omar Ali berkata pihaknya akan memberikan tajaan tunai kepada persatuan itu bagi memastikan kepemimpinan Kafa dapat menguruskan pasukan dengan baik.
Justeru, beliau berharap Kafa bersedia mempertimbangkan bagi memberikan ruang kepada pihaknya untuk bersama-sama berganding bahu demi bola sepak negara.
“Walaupun kami berasal dari negeri lain namun dalam memastikan arena bola sepak negara terus segar, kami akan cuba membantu Kafa sedaya yang mampu.
“Kelantan merupakan sebuah pasukan yang amat di­segani, tanpa kehadiran Kelantan Liga M tidak akan berseri. Tambahan pula, The Red Warriors mempunyai peminat yang cukup hebat dalam memberikan sokongan kepada pasukan mereka.
“Semangat setiakawan peminat ini juga memberikan sema­ngat kepada kami untuk membantu Kafa dalam memastikan Kelantan terus kekal beraksi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kafa berhadapan dengan krisis kewangan yang amat serius sejak akhir-akhir ini sehingga menyebabkan Tan Sri Annuar Musa meletakkan jawatan sebagai Presiden persatuan tersebut.
Kafa memerlukan sekurang-kurangnya RM15 juta untuk memastikan The Red Warriors bersaing secara kompetitif dalam Liga M musim depan.
Sementara itu Ketua Pegawai Pemasaran Red One, Ben Teh berkata, pihaknya akan me­ngadakan pertemuan dengan pengurusan Kafa sebelum 29 Disember.
“Hubungan Red One dengan Kafa sudah lama terjalin dan kami hampir dua tahun menaja TRW,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah tajaan mereka.Ben memberitahu, sekiranya Red One dipilih menjadi penaja utama pihaknya berharap sumbangan itu mampu melahirkan lebih ramai bakat-bakat muda yang berkaliber dalam sukan bola sepak.

SUMBER- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/dua-syarikat-setuju-jadi-penaja-kelantan-1.423269#sthash.2kYfChIe.dpuf

Tiada ulasan :

Catat Ulasan