Ahad, 18 Disember 2016

Tarik diri bunuh karier pemain, semangat penyokong - Yassin

SABTU, 17 DISEMBER 2016 @ 5:45 PM
 
Oleh Hasbullah Ibrahim bhsukan@bh.com.my BEKAS pemain kebangsaan, Yassin Mohd Noor. - Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Bekas pemain Kelantan mahu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memikirkan semula keputusan menarik diri daripada menyertai saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan kerana tindakan itu boleh membunuh karier pemain berbakat dan minat penyokong di peringkat akar umbi bola sepak negeri itu. Yassin Mohd Noor yang pernah beraksi bersama Kelantan dan Sukan Olimpik 1980 berkata, sudah tentu impak negatif bakal diterima peminat dan pemain bola sepak di negeri Che Siti Wan Kembang yang terkenal dengan gelaran 'The Red Warriors.'

"Pembabitan pemain berbakat dalam saingan liga seperti Piala Presiden dan Piala Belia sudah tentu menjadi sia-sia kerana mereka tidak berpeluang bermain dengan pasukan senior selepas pasukan itu menarik diri  dalam saingan berprestij terutama Liga Super. "Sukan bola sepak di Kelantan juga mempunyai aura dan kelasnya tersendiri yang dianggap hiburan utama di samping menyatukan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

"Saya melihat peminat sering kali menjadikan pemain sebagai idola mereka dan berupaya mencegah mereka terhindar dari terjebak dengan aktiviti tidak sihat," katanya. Beliau berkata, berita penarikan diri boleh melenyapkan semangat puluhan ribu peminat yang sentiasa hadir ke Stadium Sultan Muhammad IV setiap kali pasukan kesayangan mereka beraksi.

"KAFA sepatutnya membuat kenyataan ini sebaik sahaja saingan liga berakhir bagi membolehkan bekas pemain membantu mencari tajaan dengan mendapatkan tokoh korporat atau individu berkaitan. "Dalam masa yang agak singkat ini agak mustahil saya mendapatkan penajaan dengan jumlah yang agak besar kira-kira RM12 juta untuk membiayai kos pengurusan pasukan.

"Bagaimanapun, saya percaya KAFA masih mempunyai alternatif terbaik bagi menyelesaikan kemelut ini sebelum memuktamadkan sebarang keputusan dalam kongres persatuan itu pada 29 Disember ini," katanya ketika dihubungi, hari ini. Sementara itu, seorang lagi bekas pemain Kelantan, Afandi Yusof, berkata penjenamaan semula pasukan Gomo Kelate Gomo yang kini dikenali dengan gelaran The Red Warriors dengan logo pasukan yang baharu hanya tinggal kenangan sahaja selepas ini.

 "Sudah tentu hasil kerja keras membentuk pasukan yang mantap dengan lahirnya bintang tersohor seperti Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Badhri Radzi dan ramai lagi pemain berbakat hanya sia-sia sahaja.

"Tindakan menarik diri juga menjadikan pemain hilang arah tuju bagi meneruskan kerjaya profesional mereka malah proses membentuk kembali pasukan tentu mengambil masa yang agak panjang setelah ramai pemain berhijrah ke pasukan lain," katanya.


SUMBER-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/224741

Tiada ulasan :

Catat Ulasan