Khamis, 22 Disember 2016

Dua pemain Kelantan dihukum

ARKIB : 26/05/2000
KELANTAN terlepas hukuman berat apabila dapat meneruskan aksi dalam Sukan Malaysia (Sukma) ke-8 walaupun tanpa dua pemainnya yang dikenakan pergantungan kesemua perlawanan oleh Jawatankuasa Disiplin Bola Sepak Sukma kerana tindakan mereka memukul pengadil kelmarin.

Dua pemain tersebut, Mohd. Farrid Rizal Ismail dan Ahmad Syiham Mohamad dikenakan hukuman setelah didapati bersalah memukul pengadil perlawanan, Roslan Ais dari Sarawak dalam perlawanan kumpulan C antara Kelantan dengan Perak di Stadium Universiti Sains Malaysia (USM).

Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Mohd. Zain Omar memberitahu, hukuman itu diambil mengikut peruntukan 15.4 Peraturan Bola Sepak Sukma seperti ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Selain itu, kata beliau, jurulatih, Nik Fauzi Hassan dan penolong jurulatih, Surial Yaacob tidak dibenarkan berada di bangku pemain simpanan dalam perlawanan di antara Kelantan dan PDRM hari ini kerana tindakan kedua-duanya memasuki padang ketika insiden tersebut.

Kelmarin, perlawanan Kelantan - Perak dihentikan pada minit ke-73 kerana tindakan pemain Kelantan menyerang pengadil sewaktu Perak mendahului 2-1.

Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat lebih dua jam oleh jawatankuasa itu yang dipengerusikan Zain. Turut menganggotai jawatankuasa tersebut ialah Gary Nair, Joned Mohd. Nor dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Lee Hang Son.

Bagaimanapun, kata Zain, walaupun dikenakan hukuman, kedua-dua pemain, jurulatih dan penolong jurulatih yang terlibat perlu berdepan dengan FAM untuk tindakan selanjutnya.

Zain berkata, dua lagi pemain Kelantan, Muhammad Hazly Zain dan Armanzairi Md. Johan masing-masing dikenakan pergantungan satu dan dua perlawanan.

Beliau memberitahu, Hazly digantung satu perlawanan kerana mengutip dua kad kuning manakala Arman dikenakan pergantungan dua perlawanan disebabkan menerima kad merah ketika perlawanan menentang Perak itu.

Jawatankuasa Pertandingan Bola Sepak Sukma Ke-8 yang turut bermesyuarat kelmarin mengambil keputusan memberi tiga mata kepada Perak.

Setiausaha jawatankuasa itu, Abdul Wahab Mohd. berkata, mesyuarat tersebut memberi kemenangan 2-0 kepada Perak.

Sementara itu, Bernama melaporkan polis sedang menjalankan siasatan berhubung insiden pemain Kelantan menyerang dan mencederakan pengadil dan dua penolongnya itu.

Ketua Polis Daerah Georgetown SAC II Mustafa Abdullah berkata, siasatan dijalankan setelah pihaknya menerima aduan daripada anggota yang bertugas di stesen polis Sukma di kampus Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang.

''Siasatan itu dijalankan mengikut Seksyen 147 Acara Kanun Jenayah kerana ia melibatkan rusuhan,'' katanya semalam.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Ta71ANwk © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan