Rabu, 7 Disember 2016

Kelantan berwajah baru

ARKIB : 19/08/1999
KELANTAN membuat percaturan nekad apabila menggugurkan lima lagi pemain utamanya dalam mengharungi persaingan play-off bola sepak Piala Malaysia yang bermula 20 Ogos ini.

Ia sekali gus menjadikan hampir sebahagian besar skuad Kelantan akan berwajah baru ketika menghadapi Perlis di Kota Bharu nanti dengan tekad melayakkan diri ke Piala Malaysia.

Dengan tindakan drastik terbaru itu bermakna Kelantan sehingga kini telah menggugurkan tujuh pemain termasuk pemain tengah, Affendi Julaihi dan penjaga gol, Halim Napi.

Lima senarai yang baru digugurkan ialah Azlan Ismail (penjaga gol simpanan), Mohd. Zaidi Napiah (penyerang), Zahariman Ghazli (pemain tengah), Azman Shamsuddin (penyerang) dan Fuad Adam (penyerang).

Selain Perlis, Kelantan diletakkan dalam kumpulan bersama-sama dengan Kedah dan Brunei.

Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Amatur Kelantan (KAFA), Datuk Wan Hashim Wan Daud mengakui bukan mudah bagi Kelantan memenangi perlawanan itu kerana ketiadaan beberapa pemain utama.

Bagaimanapun, ia bukan bermakna Kelantan tidak menjanjikan corak permainan yang bertenaga nanti, malah lebih bersemangat.

Kelantan mengakhiri persaingan liga musim lepas pada kedudukan kelima daripada sembilan pasukan dalam Perdana Dua.

Wan Hashim tidak menolak kemungkinan beberapa pemain Liga Simpanan akan dikerah menggantikan mereka yang digugurkan di samping memastikan kemenangan bagi mengembalikan semula keyakinan para penyokong.

Antara yang disebut-sebut ialah Fatrurazi Rozi, Mohd Shahrizan Ismail, Muhd. Hardi Awang dan Rosmaini Ismail. ''Saya percaya jika para pemain mempunyai disiplin, bermain dengan cermat, kita boleh menang,'' katanya ketika ditemui di Kota Bharu, semalam.

Oleh: SAROJI MOKHTAR

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0819&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4S8dLgynq © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan