ARKIB : 22/04/2000
PEMAIN KL Malay Mail, Azizul
Jamaluddin (kanan) mengawal bola daripada dicabar pemain NS Chempaka, Ahmad Shukri
Mustaffa pada perlawanan bola sepak Perdana Dua di Stadium KLFA, Cheras semalam
yang berkesudahan seri 2-2.
PERTUKARAN gelanggang
perlawanan dari Stadium Kubu, Melaka memberi tuah kepada pasukan tuan rumah,
Johor FC apabila menewaskan Melaka 3-0 dalam perlawanan bola sepak Perdana Dua
di Stadium Larkin, Johor, semalam.
Pasukan tuan rumah memperoleh
jaringan pertama menerusi Hairy Azli Mahamad pada minit ke-35 selepas dia
memperdayakan seorang pemain pertahanan Melaka sebelum merembat kencang dari
luar kotak penalti melepasi jangkauan Zainal Rabin.
Dua minit sebelum itu, Melaka
membuat satu percubaan melalui Shahril Nizam Khalil yang menanduk bola hasil
tendangan sudut Rashid Mamud pada minit ke-33 tetapi tersasar keluar.
Gol kedua Johor FC diperoleh
melalui pemain gantian, Mohd. Shahrul Ismail yang membuat larian solo dari
sebelah kiri padang dan bola rembatannya menyaksikan Zainal tertewas buat kali
kedua.
Johor FC terus mengasak kubu
Melaka yang semakin tertekan dan pada minit ke-80, Harun Laban menyempurnakan
gol ketiga Johor FC setelah hantaran dari Azni Ariffin muntah daripada
tangkapan Zainal.
Di Stadium Sultan Mohamad
ke-IV, Kota Bahru, Kelantan bermula garang di tempat sendiri selepas membenam
Tentera 5-0.
Jaringan awal tuan rumah
diperoleh seawal minit ke-15 menerusi penyerang Zul Ihsan Yunus yang mudah
menolak bola masuk ke gawang lawan selepas menerima hantaran rakan sepasukan.
Selang beberapa minit kemudian
Kelantan berjaya mendapatkan tendangan penalti pada minit ke-17 hasil sepakan
yang diambil oleh Zul Ihsan berjaya ditampan keluar oleh penjaga gol Tentera,
Arif Fadillah Aziz.
Kehampaan itu bagaimanapun
tidak lama apabila empat minit kemudian tuan rumah berjaya mendapat gol sagu
hati apabila bola sepakan Tuan Kamree Tuan Yahya menerjah ke jaring lawan
selepas terkena kaki pemain Tentera, S. Ragu minit ke-19.
Tuan rumah yang bermain dengan
cemerlang terus mengukuhkan kedudukan apabila memperoleh gol ketiga menerusi
tandukan pemain tengah Bahruddin Ali pada minit ke-40.
Derita Tentera bertambah parah
apabila pemain muda Kelantan, Shahrudy Aziz menanduk bola sepakan sudut minIt
ke-77.
Tuan Kamtree terus menghukum
Tentera apabila menyempurnakan gol terakhir tuan rumah pada minit ke-86.
Sementara Tentera yang
mempamerkan rentak permainan yang konsisten di awal permainan bagaimana pun
gagal untuk mencipta jaringan gol apabila serangan pasukan itu sering
dipatahkan oleh benteng pertahanan tuan rumah.
Sementara itu, Malay Mail Kuala
Lumpur berkongsi mata lagi selepas seri 2-2 menentang NS Chempaka di Stadium
Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.
Gol pasukan Malay Mail
dijaringkan oleh Mohamad Sham Nor pada minit ke-25 dan 55 sementara NS Chempaka
menerusi gol jaringan sendiri Mohd. Ishak kunju Mohd minit ke-32 dan S. Ramis
dua minit sebelum tamat permainan.
Kongsi Konten di :
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4TI11B3rw
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan :
Catat Ulasan