Sabtu, 3 Disember 2016

Harapan Kijang tetap tinggi

ARKIB : 01/06/1999
WALAUPUN dibelenggu masalah kecederaan beberapa tonggak utama, jurulatih Kijang Mosthakeen Omar menuntut anak-anak buahnya menunjukkan tahap prestasi sebenar apabila melayan Terengganu di Kota Bharu malam ini.

Sesungguhnya percaturan suku akhir kedua Piala FA itu akan dijadikan gelanggang para pemain untuk mendapatkan semula keyakinan dan kepercayaan penyokong setelah menderita tiga kekalahan berturut-turut sebelum ini.

''Kita tidak mampu kalah lagi selepas ini. Walaupun kita ketinggalan agregat 0-2 dengan Terengganu dan ia agak memeritkan, kemenangan adalah penting,

''Kemenangan adalah ubat mujarab untuk bekal dan pencetus semangat bagi menghadapi lima lagi baki kancah Liga Perdana Dua selepas ini,'' katanya.

Sambil agak sukar mencari jawapan sebenar kemerosotan mendadak anak-anak buahnya setelah sempat merajai Perdana Dua, Mosthakeen tidak melihat keperluan lain melainkan keserasian dan kebangkitan semula pemain-pemainnya.

Kepincangan di segi kelonggaran keserasian ini dapat dihidunya jika mengambil kira kekalahan berturut-turut Kelantan bermula tumpas 0-1 di tangan Johor dan Tentera 1-3 baru-baru ini di samping Terengganu 0-2 (Piala FA).

Antara tonggak yang masih cedera dan dijangka tidak dapat bermain malam ini ialah pengawal gawang, Halim Napi yang cedera di pergelangan kaki, Effendi Julaihi di kelengkang dan Sarudy Aziz di paha.

Seorang lagi pemain muda, Adli Daud masih lagi demam dan sama ada ia boleh bermain atau tidak bergantung kepada keadaannya pagi ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4Rn04Fwn7 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan