Jumaat, 2 Disember 2016

Kijang gagal salah sendiri

ARKIB : 09/05/1999
KELANTAN seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila membenarkan Johor FC merampas kedudukan pendahulu bola sepak Liga Perdana Dua daripada mereka, walaupun mampu mengelaknya.

Skuad Kijang itu yang berpeluang untuk mengukuhkan kedudukan apabila beraksi di depan penyokong sendiri kelmarin, bukan sekadar gagal mempertahankan rekod tanpa kalah di Stadium Mohamed IV, malah mengizinkan Johor FC mengutip tiga mata apabila tumpas 2-3.

Johor FC melonjak tiga anak tangga dengan mengutip 23 mata hasil daripada 11 perlawanan - satu mata mengatasi Kelantan dan dua mata mendahului Selangor dan Melaka, yang berada di tempat ketiga dan keempat.

Sementara itu, Selangor yang turut berpotensi merampas gelaran pendahulu Perdana Dua, gagal memanfaatkan peluang apabila sekadar seri 1-1 dengan Tentera dan terlepas untuk mengutip satu mata penalti apabila tewas 6-5.

Bagaimanapun, juara Piala Malaysia 27 kali itu masih menjadi pasukan tunggal dalam Liga Perdana Dua yang mengekalkan rekod tanpa kalah dengan tiga kemenangan dan lapan seri.

Bagi Melaka pula kekalahan besar 1-4 kepada skuad ''adik'', Telekom Melaka bukan sekadar amat mengaibkan, malah menggagalkan usaha mereka untuk mendahului liga.

Sementara, Johor pula kembali menghidupkan peluang untuk turut berkongsi gelaran pendahulu liga apabila menumpaskan NS Chempaka 2-0.

Bagaimanapun, pasukan itu bakal berdepan perlawanan paling sukar esok, apabila mengharungi perlawanan adik-beradik dengan pendahulu baru, Johor FC.

Johor FC memegang rekod kemenangan ke atas Johor apabila memenangi pertemuan pusingan pertama 1-0.

Tugas Kelantan untuk kembali merampas pendahulu liga juga tidak mudah, apabila berkunjung ke Melaka untuk pertemuan dengan Telekom Melaka yang masih segar dengan kemenangan besar, kelmarin.

Selangor mungkin pasukan yang paling cerah untuk merampas gelaran apabila menerima kunjungan skuad tangga tercorot, TNB Kelantan, manakala Melaka pula bertemu Perlis.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0509&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RjvjjrPX © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan