Khamis, 8 Disember 2016

Kelantan lupakan sahaja Piala Malaysia

ARKIB : 06/09/1999
KELANTAN terpaksa akur dan menerima hakikat bahawa peluang untuk beraksi ke Piala Malaysia musim ini sudah tertutup rapat apabila mengalami kekalahan keempat berturut-turut.

Kelantan yang menduduki tangga terbawah dalam kumpulan apabila kalah kepada Perlis dengan sepakan penalti 2-4, kecundang dengan Brunei 0-1, kalah 0-1 dengan Kedah dan tumpas kepada Perlis 1-2 pada pusingan kedua, kelmarin.

Skuad Kijang itu hanya akan menghabiskan sisa dua perlawanan pada pusingan kedua menentang Kedah dan Brunei di gelanggang sendiri, pada 11 dan 14 September ini.

Walaupun keputusan itu tidak membawa erti kepada Kelantan, tetapi jurulatihnya Mosthakeen Omar tetap mahukan anak buahnya meraih kemenangan bagi menebus maruah.

Beliau yang ditawarkan kontrak setahun bersama Kelantan musim ini terpaksa menerima hakikat bahawa Kelantan sekali lagi terpaksa menduduki Liga Perdana Dua, musim depan.

''Saya akur dengan kehebatan pasukan-pasukan yang bertanding dalam kumpulan A dan menerima hakikat bahawa Kelantan masih ketandusan pemain bahagian serangan,'' katanya.

Ditanya sama ada kontraknya bersama Kelantan musim depan akan disambung atau sebaliknya, Mosthakeen berkata ia terserah kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Amatur Kelantan (Kafa).

''Sekiranya Kafa masih berminat mendapatkan khidmatnya beliau sanggup bersama Kelantan musim depan.

''Kita terpaksa menerima hakikat bahawa kita masih belum mempunyai penyerang berwibawa dan perancangan awal termasuk menyediakan pemain itu perlu dirancang mulai sekarang,'' katanya.

Mengulas kekalahan 1-2 kepada Perlis kelmarin, Mosthakeen berkata prestasi pemain meningkat cuma barisan serangan tidak mampu menembusi pertahanan Perlis. - Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0906&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4SFeXnYHT © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan