11 Disember 2016 12:11 AM
Khairul Fahmi
KUALA LUMPUR 10 Dis. – Walaupun
status penyertaan Kelantan dalam Liga Malaysia (Liga M) musim depan masih tidak
menentu, namun penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat menegaskan, dia
tetap setia bersama The Red Warriors.
Khairul Fahmi, 27, berkata, kontraknya
bersama Kelantan hanya akan tamat pada hujung 2017, namun dia enggan menekan
butang panik biarpun menyedari majikannya mempunyai masalah kewangan yang
kritikal.
“Saya tetap setia bersama
Kelantan, lagi pun kontrak saya masih berbaki setahun,” katanya kepada
Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Ketika ditanya apakah dia
sudah mula mencari pasukan baharu gara-gara kedudukan Kelantan yang bergelut
ketika ini, Khairul Fahmi berkata, dia tidak mahu memikirkan tentang masalah
kewangan The Red Warriors.
Katanya, dia menyerahkan
sepenuhnya kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk menyelesaikan isu
berkenaan.
“Saya tidak boleh jawab
mengenai perkara itu. Pihak pengurusan akan menjawab hal itu. Saya minta maaf,”
katanya lagi.
Hari ini, Utusan Malaysia
melaporkan Khamis depan mungkin menjadi detik hitam buat bola sepak Kelantan
sekiranya Kafa masih gagal menyelesaikan masalah kewangan yang amat kritikal.
Tarikh itu merupakan hari
penting bagi Kafa yang mengadakan mesyuarat khas untuk menentukan hala tuju
mereka sebelum Liga M 2017 dibuka Januari ini.
Perkara tersebut disahkan Naib
Presiden Kafa, Datuk Rosmadi Ismail selepas mengakui, pihaknya mengalami
masalah kewangan yang amat serius sehingga kantung persatuan kosong untuk
membiayai pasukan musim depan.
Malah, sehingga kini pihaknya
tidak mendapat sebarang tajaan dan paling mengecewakan apabila Kerajaan Pas
Kelantan tidak memberi apa-apa bantuan kepada persatuan tersebut.
Badan induk bola sepak Kelantan
itu memerlukan sekurang-kurangnya RM15 juta bagi membolehkan pasukan kekal
bersaing secara kompetitif, namun persatuan masih bergelut mencari sumber
kewangan selepas Tan Sri Annuar Musa melepaskan jawatan Presiden, awal bulan
lalu.
Sebelum ini, pengurusan Kafa
menawarkan kepada Kerajaan Pas Kelantan untuk mengambil alih teraju
kepemimpinan bagaimanapun ditolak Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik
Abdullah.
sumber- See more at:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/apek-setia-bersama-kelantan-1.418567#sthash.0N5RT35V.dpuf
Tiada ulasan :
Catat Ulasan