Jumaat, 2 Disember 2016

Juara bertahan terkeluar

ARKIB : 05/05/1999
KELANTAN mara ke suku akhir bola sepak Piala FA dengan mengejutkan juara bertahan, Johor 3-2 dalam perlawanan kedua pusingan kedua di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, semalam.

Kedua-dua pasukan terikat 0-0 di Johor Bahru pada perlawanan pertama lalu tetapi keputusan semalam melayakkan Kelantan layak dengan agregat 3-2.

Kedudukan terikat 2-2 selepas masa sebenar permainan semalam sekali gus memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.

Akhirnya Roslisham Mohd. Nor memecah kebuntuan dengan bertindak cemerlang setelah berjaya menewaskan hadangan pertahanan Johor sebelum merembat kencang ke sasaran.

Kelantan yang bertambah yakin dengan kedudukannya di tangga teratas liga Perdana Dua, dicabar sengit dalam corak permainan seimbang serta menghiburkan penyokong yang kembali memenuhi separuh stadium.

Kelantan mula mengasak bertubi-tubi seawal permainan tetapi percubaan Johor lebih meyakinkan melalui Rosdee Sulong pada minit ke-15 dan Rizal Sukiman, empat minit kemudian tetapi cubaan jarak jauh itu berjaya diselamatkan.

Pemain pertahanan Kelantan, Sarudi Abdul Aziz yang kecewa dengan cubaan awalnya melalui tendangan bebas yang sedikit tersasar dari gawang, mencuba sekali lagi, tiga minit kemudiannya.

Tendangan bebas yang diambil kira-kira 25 meter dari gawang melantun tinggi dan terus masuk tanpa tercecah jangkauan penjaga gol Johor, Othman Katmon.

Jaringan itu merancakkan lagi perlawanan dan Kelantan mendapat jaringan kedua pada minit ke-52 melalui Roslisham Mohd Nor yang menyambar hantaran Yusrisham Yusof hasil tendangan bebas.

Bagaimanapun Johor bangkit semula apabila harapan menyaingi Kelantan mula terbuka melalui jaringan M. Chandran dari luar kotak penalti yang sekali gus mula mengucar-kacirkan rentak barisan Kelantan.

Hashim Mustapha menyamakan kedudukan pada minit ke-74 yang melibas masuk hantaran Rosdee Sulong dari penjuru kanan gawang sebelum sempat Mohd. Halim Napi bertindak membuat hadangan.

Tetapi harapan Johor akhirnya dimatikan oleh Kelantan kira-kira lima minit masa tambahan bermula menerusi jaringan emas Roslisham yang menggamatkan stadium.

Sementara itu, kelebihan beraksi di tempat sendiri tidak memihak kepada Perlis untuk mara ke suku akhir Piala FA apabila seri tanpa jaringan ketika bertemu Sabah di Stadium Utama, Kangar semalam.

Keputusan itu melegakan Sabah yang mencatat kemenangan dengan agregat 2-1 dalam pertemuan pertama di Stadium Likas 20 April lalu.

Pasukan tuan rumah yang menguasai perlawanan ternyata terpaksa akur dengan nasib malang mereka di hadapan penonton sendiri.

Para penonton mengeluh kerana beberapa peluang keemasan gagal disempurnakan terutama oleh penyerang Hairil Zamri Abdul Rashid yang melepaskan tiga peluang di hadapan pintu gol.

Pengganti Hairil, Ridzuan Abu Shah yang masuk pada separuh masa kedua juga gagal mengubah nasib Perlis kerana pergerakannya sentiasa dikawal rapi.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4RgijBtY7 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan