Selasa, 20 Disember 2016

Kelantan masih unggul

PENDAHULU liga, Kelantan terus menguasai takhta teratas bola sepak Liga Perdana Dua biarpun sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan TNB Kelantan di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV, Kota Bharu.

Kelantan selaku pasukan senior ternyata tidak berupaya mencipta jaringan gol malah sering kali serangan yang dilakukan dapat dipatahkan oleh kesebelasan TNB Kelantan.

Malah, jentera serangan Kelantan yang diperkuatkan dengan gandingan Zool Ihsan Yunus dan Anuar Abu Bakar tidak berkesan untuk menembusi benteng pertahanan TNB Kelantan.

TNB Kelantan yang bermain dengan strategi bertahan perlu berterima kasih kepada penjaga golnya, Noramri Md. Nawi yang banyak menyelamatkan percubaan-percubaan bahaya Kelantan.

Corak persembahan yang agak membosankan akhirnya membawa kepada keputusan seri sehingga tamat permainan.

Sementara itu, di Stadium KLFA di Cheras, Tentera mencatatkan kemenangan pertama musim ini apabila mengejutkan pasukan pilihan, Johor FC 2-0.

Johor FC yang pada awalnya dijangka tidak menghadapi masalah untuk membawa pulang mata penuh, gagal menunjukkan persembahan sebenar seperti diharapkan untuk membuka ruang buat Tentera memanfaatkan peluang.

Di sebalik gahnya nama Johor FC dengan dibarisi empat pemain dari Sabah, Tentera menguasai permainan sejak awal dan pada minit ke-15 berhasil memperoleh gol sulungnya menerusi gerakan cantik yang bermula dari sayap kiri.

Mohd. Zahid Hashim yang menerima hantaran lintang di dalam kotak penalti terus menanduk kepada rakan penyerangnya, Saifullizan Hashim yang terus merembat kencang ke penjuru kiri gol Johor pada minit ke-15.

Walaupun ketinggalan, anak buah Bruce Stowell seperti tidak berazam untuk mencari gol penyamaan apabila gagal menyusun gerakan kemas dengan hantaran-hantaran liar kepada rakan di bahagian serangan.

Pasukan dari selatan itu mendapat dua peluang terbaik untuk menghasilkan gol pada minit ke-20 dan 40, masing-masing menerusi penyerang utamanya, Sheikh Ahmad Redzuan dan Azni Ariffin, tetapi hanya dua percubaan itu yang benar-benar mendebarkan kubu tuan rumah sepanjang perlawanan tersebut.

Pada babak kedua, Stowell membuat tiga pertukaran termasuk menggantikan Md. Shahrul Ismail dengan Harun Laban, namun bekas penyerang Sabah itu gagal menerima sokongan rakan-rakan dari bahagian tengah.

Kealpaan benteng Johor FC pada minit-minit terakhir sekali lagi mengundang padah apabila pemain gantian, Mohd. Zain Roslan membuat hantaran lintang dari sebelah kiri, dan umpanan cantiknya berjaya disempurnakan dengan tandukan kemas Rosli Dollah, pemain yang turut dimasukkan pada babak kedua untuk gol kedua Tentera.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4TNJSPiJt © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan