Selasa, 6 Disember 2016

KAFA masih mencari kelemahan

ARKIB : 10/07/1999
JIKA tidak kerana permainan sambil lewa dan kurang bersemangat Kelantan kini sudah pasti telahpun berada dalam kelompok yang layak bermain secara automatik dalam kancah Piala Malaysia.

Begitupun oleh kerana permainan yang lesu atau mungkin telah ditakdirkan, skuad Kijang Mas perlu mengerah keringat pula untuk bermain dalam play off bagi mengesahkan tempat ke kancah itu.

Demikianlah yang menghantui jurulatih Mosthakeen Omar sehingga kini yang masih tercari-cari apakah jawapan sebenar mengenai kemerosotan mendadak para pemainnya sejak kebelakangan ini.

Segala-galanya nampak meyakinkan apabila Kelantan pernah merasai semangat sebagai pendahulu liga Dua pada pusingan pertama tetapi apabila tamatnya keseluruhan liga pasukannya menjunam ke tangga kelima di bawah Johor, Selangor, Johor FC dan Perlis.

''Permainan mereka ketara tidak bermaya pada dua perlawanan terakhir dan yang paling teruk pada perlawanan menentang Selangor dengan Kelantan kalah 0-4 ketika pasukan berusaha menempatkan diri ke Piala Malaysia,'' katanya.

Apa yang Mosthakeen nampak, permainan pasukannya sudahlah serba tidak menjadi malah ditambah pula dengan sikap pemain yang tidak bersemangat.

Justeru bagi menghadapi cabaran play off bermula 21 Julai ini, Mosthakeen tidak ragu-ragu mengetepikan tidak kurang lima orang pemain dan perubahan ini mendapat restu pihak pengurusan KAFA.

''Biar pemain dapat pengajaran bahawa walau sejauh mana pengalaman atau berpengaruhnya mereka dalam pasukan, mereka akan diketepikan jika gagal bermain dengan semangat dan bersungguh-sungguh,

''Biar kita pertaruhkan muka-muka baru asalkan kita puas hati di atas komitmen tinggi yang ditunjukkan.

Pada play off kali ini, Kelantan diletakkan dalam kumpulan A bersama-sama Perlis, Brunei dan Kedah yang kesemuanya dianggap oleh Mosthakeen memiliki kekuatan yang seimbang di antara satu sama lain dan dengan Kelantan sendiri.

Kelantan pernah mengalah dan dikalahkan Perlis manakala Brunei dan Kedah juga saling tewas serta menewaskan di antara satu sama lain.

Jika demikianlah halnya, apa yang dituntut Mosthakeen ialah para pemain dapat menyemat tekad serta semangat yang lebih komited kepada pasukan di samping sentiasa berfikiran positif.

Bekas jurulatih ini telahpun memperturunkan pengalaman dan taktikal yang ada padanya, terpulanglah kepada skuad Kijang Mas untuk membuktikannya.

Kelantan kini masih bercuti dijangka turun semula ke padang pada 17 Julai ini sebelum mengharungi padang menentang Perlis pada 21 Ogos.

Oleh: LOKMAN OTHMAN

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0710&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4S3U3EbHe © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan