Ahad, 13 November 2016

Hashim merajuk dengan Kelantan

ARKIB : 04/02/1999
SAH..! Era Hashim Mustapha di Kelantan telah tamat. Penyerang berpengalaman itu tidak lagi akan menyarung jersi bola sepak Liga Malaysia negeri Kelantan musim ini, lapor SAROJI MOKHTAR.

Malah dia membayangkan tidak juga akan bermain dengan pasukan-pasukan lain walaupun ditawarkan selepas ini.

Dengan demikian terjawablah teka-teki di kalangan peminat bola sepak Kijang Mas selama ini kenapa pemain yang pernah memenangi kasut emas tahun 1990 (divisen dua), 1993 dan 1994 itu tidak menandatangani kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Hashim melontarkan kejutan sedemikian setelah memikirkan semasak-masak bahawa itulah keputusan yang sebaik-baiknya sebagai menjaga maruah harga diri.

Walaupun berat untuk berbuat demikian, tetapi kerana hatinya sudah kecewa dengan sikap pengurusan baru KAFA yang seolah-olah tidak langsung menghargai jasa-jasanya selama ini.

''Saya memang berhasrat untuk bersama skuad Kelantan sebagai menunaikan janji saya sebelum ini untuk membantu meningkatkan skuad negeri.

''Bagaimanapun, apa boleh buat pengurusan baru nampaknya tidak lagi mahu khidmat saya,'' katanya ketika ditemui di rumahnya di Kota Bharu, petang semalam untuk mengetahui kedudukan sebenar kenapa tidak menandatangani kontrak dengan KAFA sedangkan namanya masih tercatat dalam senarai nama pemain skuad negeri itu musim ini.

Menurut Presiden KAFA, Datuk Wan Hashim Wan Daud, pihak pengurusan sentiasa menunggu Hashim dan peluang masih terbuka sama ada sedia bersama skuad negeri musim ini atau sebaliknya.

Hashim berkata, dia sebelum ini sebenarnya ternanti-nanti pihak KAFA menghubunginya mengenai pengesahan untuk menyertai skuad negeri musim ini sebagaimana dijanjikan, tetapi sehingga hari ini tidak ada sesiapa yang berbuat demikian.

''Sekembalinya dari Brazil, memang saya berhasrat untuk mencurahkan khidmat dengan skuad Kelantan dan sempat menjalani beberapa latihan bersama jurulatih Mosthakeen Omar,'' ujarnya.

Beliau memberitahu selain itu, masalah tawaran bayaran gaji yang dianggap tidak mansabah juga antara faktor beliau tidak dapat bersama skuad Kelantan tahun ini.

Katanya, beliau sedia menerima bayaran gaji yang kecil asalkan pemain-pemain lain yang dianggap setaraf dengan beliau juga dibayar dengan kadar yang sama.

''Kalau perbezaan jumlah bayaran gaji terlalu jauh, beratlah saya hendak menerimanya, kalau terima rasa terhina saya,'' tambahnya yang enggan menyatakan jumlah gaji yang ditawarkan KAFA.

Menurutnya, beliau tidak sampai hati hendak memberitahu jumlah tawaran gaji dan meminta supaya tanya pihak pengurusan baru KAFA kalau hendak tahu gaji yang ditawarkan.

Bila ditanya apakah dengan tidak bersama skuad Kelantan musim ini bererti beliau ingin bersara daripada bermain bola, Hashim berkata, walaupun usianya kini 33 tahun beliau akan terus bermain bola.

Ditanya pasukan mana beliau bermain sekarang, beliau berkata: ''Adalah pasukannya tetapi bukan berhijrah ke negeri lain''.

Hashim yang kini mempunyai tiga orang anak menceburi dalam arena bola sepak sejak di bangku sekolah bawah umur 12 tahun, kemudian Piala Presiden, Piala Razak, Piala Mas (1982) dan 1984-1995 melibatkan secara serius dalam bola sepak.

Bagaimanapun tahun 1996 - 1997 berhijrah ke negeri Kedah kemudian kembali beraksi semula dengan skuad Kelantan tahun 1998.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PsGtmI9z © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan