Ahad, 13 November 2016

Affendi tetap pilih skuad Kelantan

ARKIB : 05/02/1999
BEKAS penyerang kebangsaan, Affendi Julaihi tidak berganjak dengan pendiriannya untuk mewakili pasukan Kelantan pada persaingan Liga Malaysia musim ini, lapor ANUAR ARIFFIN.

Bagi pemain berusia 30 tahun itu, biarpun tindakan itu tidak boleh diterima oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), namun keputusan yang diambil adalah muktamad.

Menurut Affendi, dia sudah menimbang dengan teliti dan semasak-masaknya sebelum membuat ketetapan.

Justeru itu, beliau berharap tindakan yang diambil itu tidak akan mencetuskan perbalahan antara KFA dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

''Selain berbincang dengan kaum keluarga, saya juga telah beristiqarah memohon petunjuk daripada Allah agar menetapkan pendirian berhubung perkara ini.

''Apa yang saya peroleh daripada istiqarah itu ialah Tuhan telah memberi kekuatan kepada saya untuk memilih Kelantan,'' katanya ketika dihubungi di rumahnya di Petra Jaya, Kuching, semalam.

Menurut Affendi, keluarganya juga telah merestuinya untuk berhijrah ke Negeri Cik Siti Wan Kembang.

Mengulas mengenai kontroversi yang timbul ekoran kenyataan KFA bahawa beliau tidak mengotakan janji untuk bermain bersama Kedah tetapi sebaliknya memilih Kelantan, Affendi berkata: ''Saya tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Cukup bagi saya mengatakan bahawa saya tetap memilih Kelantan musim ini.''.

Anak kelahiran Petra Jaya itu berkata, dia akan bertolak ke Kota Bharu, Ahad ini, untuk urusan menandatangani perjanjian kontrak permainan.

Apa yang penting, menurut Affendi, dia akan dapat meluas dan mendalami pengajian agama Islam apabila berada di Kelantan nanti.

''Sudah sampai masanya saya meluaskan pengajian agama Islam di samping bermain bola sepak sebagai satu kerjaya.

''Saya memilih Kelantan berdasarkan suasana keislaman yang lebih menyerlah di negeri itu,'' ujarnya.

Affendi berkata: ''Saya bukannya pemain yang mengejar kebendaan. Kalau ada negeri lain yang sanggup menawarkan tawaran yang lebih tinggi daripada apa yang ditawarkan oleh Kelantan, saya tetap akan memilih Kelantan.''

Ditanya mengapa beliau menolak tawaran KFA, bekas pemain Bujang Senang dan Si Rusa itu menjelaskan, KFA sebenarnya ada menghubunginya beberapa kali tahun lalu untuk mempelawa bermain dengan Kedah musim ini.

Menurut Affendi, dia bersetuju untuk memenuhi hasrat itu tetapi dengan syarat KFA mengemukakan sepucuk surat tawaran 'tanda jadi' kepadanya sebagai tanda keprihatinan persatuan itu untuk memilikinya.

Bagaimanapun, katanya, pengurus pasukan Kedah, Datuk Mohd. Shariff Abu Samah memberitahu dia tidak boleh berbuat demikian disebabkan pengurusan skuad Kenari masih lagi belum memilih jurulatih dan sebagainya.

''Jadi, saya tidak boleh disalahkan kerana mungkir janji. Kalau surat 'tanda jadi dan keprihatinan' itu ada, takkanlah tergamak hati saya mahu bermain dengan pasukan lain,'' ujarnya.

Affendi juga berkata, dia tidak tahu bagaimana perasaannya mula berputik untuk mengibar cabaran bersama Kelantan musim ini.

''Segalanya bermula pada 30 Januari lalu apabila saya menerima mesej dari rakan sepermainan, Zahasmi Ismail supaya menghubunginya di Kelantan,'' ujarnya.

Sebenarnya, beliau berkata, pasukan Kelantan juga pernah melamarnya pada 1995 dan 1997.

Dalam pada itu, Affendi turut tidak lupa menghargai jasa baik KFA dan Mohd. Shariff yang sudi mempelawanya bermain bersama Kenari musim ini.

''Mereka terlalu baik, sukar untuk melupakan jasa-jasa mereka. Mungkin pada waktu yang lain, saya akan menyarung jersi Kedah pula,'' ujarnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PsURWU6R © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan