Selasa, 15 November 2016

Skuad Kijang tunjuk tanda positif

ARKIB : 03/03/1999
DISIPLIN dan motivasi mungkin bukan lagi masalah besar yang kerap dikaitkan dengan skuad bola sepak Kelantan dan ia cukup menggembirakan jurulatih Mosthakeen Omar yang dipertanggungjawabkan mengasuh skuad Kijang agar mampu melompat halangan ke Liga Perdana Satu.

Malah hubungan antara pemain semakin terbentuk bagi satu keluarga dan tiada jurang antara mereka yang sebilangannya juga berstatus bintang dengan pemain muda dan baru memudahkan persefahaman dan sekali gus memudahkan perancangannya.

''Tengok, mereka datang awal lebih sejam sebelum latihan bermula, bersembahyang lebih dahulu, siap berpakaian dan memanaskan badan sebelum saya tiba, '' ujar Mosthakeen sebelum turun ke padang Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian petang kelmarin.

Bagi Mosthakeen, ini petanda yang cukup baik dan kefahaman terhadap konsep bola sepak profesional ini sentiasa ditekankan supaya mereka mempunyai persediaan mental yang cukup kental.

Katanya, mereka harus mengembali kepercayaan peminat di negeri ini kerana mereka bukan sahaja bertanggungjawab kepada diri sendiri dan pasukan dengan amanah dan ganjaran yang diberikan.

Melalui kem motivasi sebelum melepaskan mereka beraksi dalam empat perlawanan persahabatan setakat ini ia memberi keyakinan kepada Mosthakeen bahawa tugas sukar dan kepercayaan yang diberikan kepadanya dapat dipenuhi.

Mereka memenangi dua perlawanan di Thai sebelum tewas kepada Terengganu di Kuala Terengganu dan terakhirnya menang di Kuantan menentang Pahang.

Beliau mengakui pertemuan dengan Terengganu lebih merupakan ujian sebenar dan walaupun tewas 0-2 mereka telah menunjukkan tanda penguasaan yang jelas.

''Pemain muda yang diuji agak mudah hilang penumpuan dan barisan serangan perlu dipertajamkan dan menyedari kelemahan mereka mula bangkit menewaskan Pahang 1-0.

''Mereka (pemain muda) tentunya perlu diberi masa untuk atasi masalah itu dan tumpuan kita sekarang adalah untuk mempertajamkan barisan serangan dengan memantapkan gandingan Affandi Julaihi dan Nidzam Adzha.

Lanjutan tarikh perlawanan pertama pusingan kelayakan Piala FA dari 2 Mac kepada 9 Mac memberi kesempatan kepada Mosthakeen menyiapkan keupayaan anak buahnya untuk membawa cabaran Kelantan.

Bagaimanapun Mosthakeen mengambil pendekatan lebih berhati- hati agar mengelak pemainnya daripada cedera kerana ini dengan mudah mempengaruhi rentak skuad, menjejaskan prestasi dan harapan Kelantan.

Oleh: WAN ZULKIFLI WAN YAACOB

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Q4KyOTfb © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan