Ahad, 13 November 2016

Affendi yakin Jalil mampu

ARKIB : 06/02/1999
BEKAS pemain Sarawak, Affendi Julaihi menaruh keyakinan tinggi terhadap kemampuan jurulatih, Abdul Jalil Rambli dalam membawa skuad Bujang Senang mencapai kejayaan cemerlang pada cabaran Liga Malaysia musim ini.

ANUAR ARIFFIN melaporkan, berdasarkan kepada pengalaman yang ada pada Jalil, 38, selaku bekas penolong jurulatih dan pemain, tidak mustahil pasukan Bumi Kenyalang mampu bertindak 'garang' kali ini.

Menurut Affendi, 30, Jalil mempunyai kekuatan sendiri dalam membentuk sebuah pasukan yang benar-benar berwibawa dan tangkas.

''Saya pernah menjalani latihan bersama skuad Sarawak di bawah bimbingan Jalil. Saya menyenangi corak latihan yang diajar olehnya.

''Jadi, saya yakin pemain-pemain baru yang bakal mewarnai skuad Kenyalang kali ini akan mudah dapat dibentuk dan seterusnya menjadikan Sarawak sebagai sebuah pasukan yang digeruni pihak lawan nanti,'' katanya ketika dihubungi di Kuching, semalam.

Sementara itu, Affendi yang mencetuskan kontroversi ekoran keputusannya untuk mewakili pasukan Kelantan musim ini berkata, buat masa ini beliau masih lagi belum bersedia untuk kembali mencurahkan keringat bersama skuad Bujang Senang.

Ini kerana, menurutnya, dia ingin menimba seberapa banyak pengalaman terlebih dahulu sebelum mahu memikirkan untuk kembali menyarung jersi negeri kelahirannya sendiri.

''Saya mahu bermain di negeri-negeri lain dahulu. Lagipun, setakat ini pengalaman saya masih lagi kurang.

''Bukan itu saja, kini Sarawak sudahpun mempunyai ramai pemain muda yang berpotensi yang jika digilap mampu menjadi pemain terbilang suatu hari nanti,'' jelasnya yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan.

Affendi menambah: ''Apabila saya sudah memperoleh pengalaman yang banyak, barulah saya bersedia untuk memanfaatkan ilmu yang didapati itu untuk kemajuan bola sepak di Sarawak.''

Dalam pada itu, anak kelahiran Petra Jaya itu berkata, dia berazam untuk membantu Kelantan menempatkan semula kedudukan dalam Divisyen Satu musim ini.

Katanya, untuk tujuan itu, dia akan bermain dengan semangat yang tinggi bagi melengkapkan hasrat tersebut.

''Saya tidak menghadapi masalah untuk bermain dengan skuad Kijang.

''Malah, saya pernah bermain dengan beberapa orang pemain dalam pasukan itu seperti Kamal Idris, Zahasmi Ismail, Nizam Adha dan Zaidi Napiah sewaktu menjalani latihan kebangsaan sedikit masa dahulu,'' ujarnya.

Affendi berkata, beliau juga tidak kekok untuk menjalani latihan di bawah jurulatih Kelantan, Mosthakeen Omar

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4PsW93eM4 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan