Selasa, 15 November 2016

Affendi ikut rentak Kijang

ARKIB : 09/03/1999
BEKAS penyerang kebangsaan, Affendi Julaihi telah menemui rentaknya bersama skuad Kijang yang dipilihnya dan bertekad untuk tidak mengecewakan harapan dalam membawa Kelantan ke Bola Sepak Liga Malaysia Perdana Satu, musim ini.

Affendi yang akan menghabiskan dua musim di Kelantan mengakui cabaran sememangnya berat tetapi sengaja memilih untuk menempuhnya kerana ia menjadi ujian sebenar ketika semakin hampir ke kemuncak kerjayanya.

Setelah hampir sebulan di Kota Bharu dan melalui empat siri perlawanan persabahatan sebagai persiapan awal, Affendi berkata dia sudah berupaya serasikan diri dengan rakan-rakan dan mudah menerima pendekatan jurulatih, Mosthakeen Omar.

Namun Affendi berharap kecederaan yang dialaminya pada musim lalu semasa bersama Negri Sembilan sehingga banyak menghabiskan masa di luar padang tidak akan berulang semasa tahap kecergasannya cukup baik.

''Saya seronok dengan suasana di sini manakala dengan rakan sepasukan, tiada jurang antara pemain walau dari pelbagai negeri dan pengalaman sehingga persefahaman mudah terbentuk,'' katanya ketika ditemui semalam.

Selain memilih cabaran itu Affendi berkata, keinginannya untuk mendalami agama di Kelantan yang turut mempengaruhi pertimbangannya, akan cuba dipenuhi.

''Masa terluang akan saya ambil kesempatan untuk belajar agama dan saya telah pun meninjau beberapa buah pondok pengajian dan memilih untuk belajar di pondok Pasir Tumbuh, yang tidak jauh dari kediaman saya tidak lama lagi.

Affendi, anak kelahiran Petra Jaya yang kini mencecah usia 30 tahun turut membayangkan hasrat untuk mengakhir zaman bujangnya di Kelantan. ''Usia macam ini patutnya dah kahwin tetapi sebenarnya saya tengah cari lagi, tak kisahlah jika jodoh di Kelantan atau di Sarawak, '' ujar Affendi.

Affendi meletakkan sasarannya untuk beraksi sehingga lima tahun lagi dan sebelum meninggalkan bola sepak beliau tetap berharap untuk mengakhirinya di tanah kelahiran, Sarawak.

Oleh: WAN ZULKIFLEE WAN YAACOB

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4Q9kQmgyc © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan