Selasa, 8 November 2016

Piya belum pasti kekal 
di Kelantan


 

YATIMIN ABDULLAH  |  07 November 2016 11:32 PM
KOTA BHARU 7 Nov. - Mohd. Badhri Radzi tidak menafikan dia belum tentu akan kekal bersama Kelantan dalam saingan bola sepak Liga Malaysia (Liga M) musim 2017 dan kini sedang mempertimbangkan mengenai masa depannya bersama The Reds Warriors.
MOHD. BADHRI RADZI sedang menimbangkan tawaran Kelantan selain beberapa pasukan lain yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
Kapten berpengaruh berusia 34 tahun itu turut mengakui beberapa kelab Liga Super dan Perdana telah menawarkannya tempat untuk bersama mereka tetapi buat masa ini hatinya agak berat untuk meninggalkan Kelantan, pasukan yang disertainya sejak 2008.
Badhri, yang bakal tamat kontrak pada hujung bulan ini adalah antara pemain senior yang ditawarkan kontrak baharu oleh pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), namun dia meminta masa sebelum memuktamadkan keputusan.
“Ketika ini saya masih di peringkat rundingan dengan Kafa dalam soal gaji. Saya memerlukan sedikit masa untuk memuktamadkan keputusan sama ada kekal atau sebaliknya.
“Hati saya masih bersama Kelantan dan jika rundingan berjalan lancar The Red Warriors akan menjadi pilihan utama,” kata bintang tengah yang dikenali sebagai Piya itu.
Pemain kelahiran Kampung Atas Paloh, Kota Bharu itu mengakui tawaran daripada pasukan lain kepadanya agak menarik tetapi berkata banyak perkara yang perlu diteliti serta dipertimbangkannya sebelum membuat keputusan.
“Tawaran yang mereka berikan agak lumayan. Apa pun saya perlu menelitinya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.
“Ini melibatkan soal masa depan dan perjalanan karier saya dalam sukan bola sepak,” ujarnya lagi.
Piya antara pemain yang menjadi tunjang kejayaan Kelantan ketika merangkul kejuaraan treble pada musim 2012.
Bukan itu sahaja, dia juga membantu Kelantan menjulang Piala Malaysia untuk kali pertama pada 2010, sekali gus menamatkan penantian 84 tahun untuk menjulang trofi berprestij itu.
Antara pencapaian peribadi terbaik Badhri ialah dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai Anugerah Bola Sepak Malaysia pada 2013.
-SUMBER- See more at: https://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/piya-belum-pasti-kekal-8232-di-kelantan-1.404823#sthash.AKZMEFZo.dpuf

Tiada ulasan :

Catat Ulasan