Jumaat, 11 November 2016

Zahasmi tekad wakili Kelantan musim ini

ARKIB : 09/01/1999
BEKAS pemain kebangsaan dan ketua pasukan Kelantan musim lepas, Zahasmi Ismail akhirnya memberi kata putus untuk mewakili Kelantan pada musim 1999, setelah diura-urakan untuk berhijrah ke negeri lain.

Beliau antara pemain paling berharga skuad Kijang tahun lepas berkata, rundingan peringkat awal antaranya dan pihak pengurusan baru Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) telah diadakan beberapa hari lepas dan kontrak bermain itu akan ditandatangani dalam beberapa hari lagi.

''Saya tetap akan mencurah bakti dan keringat untuk mewakili Kelantan musim ini dan berjanji akan membawa cabaran yang lebih sengit,'' katanya ketika ditemui, di rumahnya di Kota Bharu, semalam.

Kelantan yang telah kehilangan sembilan pemain tunggak utamanya musim lepas kini mengharapkan keringat pemain yang masih setia seperti Hashim Mustapa, Zahasmi Ismail, Halim Napi, Zulkifli Abdullah, Mohd Akmal Tabrani, Saifulnizam Hussain dan Azuan Othman, yang memberi kesanggupan untuk menyumbang tenaga kepada Kelantan musim ini.

Zahasmi berkata masalah pemberian gaji kepada pemain tidak timbul waktu ini sebaliknya yang penting semangat berpasukan bagi memastikan Kelantan muncul sebagai pasukan digeruni musim ini, harus dipupuk dari awal.

''Saya harap bekas pemain Kelantan yang kini beraksi dengan negeri lain supaya kembali membantu Kelantan musim ini sebagai usaha menyelesaikan masalah pasukan Kelantan yang menghadapi ketandusan pemain berkaliber setelah banyak pemain berhijrah ke pasukan lain musim ini,'' katanya.

Beliau juga menghargai tindakan Timbalan Yang Dipertua Kafa, Yussuf Ali yang cuba melangsaikan tunggakan gaji empat bulan bagi 23 pemain Kelantan musim lepas.

Ditanya mengenai pelantikan jurulatih baru Mustakeen Omar dari Kedah yang akan membimbing Kelantan musim ini, Zahasmi berkata, peranan jurulatih amat penting untuk kemajuan bola sepak.

Sehubungan itu beliau dan rakan-rakan akan memberi kerjasama dan komitmen penuh untuk membantu Mustakeen pada musim ini, katanya. - Bernama.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4PhgB6Wix © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan