Ahad, 13 November 2016

Perlawanan mengesan kelemahan

ARKIB : 24/02/1999
PEMAIN Terengganu gigih menjalani latihan di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah di Kuala Terengganu semalam. - Gambar ABD RAHMAN SALEH.

PERLAWANAN persahabatan antara Terengganu dan Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah, Kuala Terengganu malam ini, merupakan 'ujian' penting untuk mengenal pasti kelemahan yang wujud dalam skuad Penyu, lapor AMIR SARIFUDIN.

Perlawanan itu juga adalah persiapan terakhir Terengganu bagi melengkapkan diri mengharungi Liga Malaysia musim ini.

Bagi Terengganu, beberapa kekurangan akan dapat diatasi melalui perlawanan persahabatan itu termasuk menentang Pahang.

Pengurus pasukan, Datuk Che Mat Jusoh memberitahu Sukan Utusan, perlawanan persahabatan itu juga adalah persediaan terakhir buat naib juara Piala Malaysia itu dalam menguatkan mental pemain.

''Kita mahu setiap pemain benar-benar bersedia sebelum Liga M bermula bulan depan.

''Perasaan dan mental pemain terhadap perlawanan sebenar harus bermula sekarang,'' katanya.

Che Mat melihat perlawanan persahabatan itu kelak bukan sahaja dapat mengenali setiap posisi pemain, malah meningkatkan kecergasan mereka.

Xby ads

Di samping itu, dari perlawanan itu juga pemain diminta mempraktikkan segala taktikal yang telah diterapkan oleh jurulatih Yunus Alif.

''Walaupun ia perlawanan persahabatan tetapi kita memilih Kelantan kerana ramai pemain pasukan itu mempunyai kebolehan yang tinggi.

''Oleh itu kita mahu skuad Penyu menampilkan segala latihan teknikal yang telah diajar ketika perlawanan berlangsung,'' katanya.

Mengenai keupayaan pemain, Che Mat berkata, pemain Terengganu kini berada dalam keadaan baik, namun masih banyak yang boleh dilakukan untuk meningkatkan prestasi diri masing-masing.

Menurut Che Mat, Terengganu hanya seri 1-1 pada perlawanan persahabatan pertama menentang pasukan Majlis Bandaran Sungai Golok, Thailand Ahad lalu.

''Walaupun seri, tetapi kita berpuas hati kerana terdapat beberapa pemain utama yang tidak dapat turun disebabkan komitmen dengan pasukan kebangsaan.

''Perlawanan persahabatan dengan skuad dari selatan Thailand itu sedikit sebanyak dapat mendedahkan kelemahan-kelemahan yang ada dan ini akan kita perbaiki,'' katanya.

Che Mat melahirkan keyakinan Terengganu berupaya memberi cabaran lebih hebat apabila menurunkan barisan sebenar pada Perdana Satu nanti.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Pu1div98 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan