Jumaat, 11 November 2016

Fikir dulu - Mosthakeen

ARKIB : 13/01/1999
PARA pemain skuad bola sepak Kelantan musim lalu yang menyatakan keinginan untuk berhijrah menjelang bermulanya kejohanan Liga-M musim ini diminta supaya memikirkan semula hasrat mereka itu.

Jurulatih skuad Kelantan yang baru dilantik, Mosthakeen Omar berkata, saranan itu dibuat kerana beliau percaya pemain terbabit berbuat demikian tanpa menyedari bahawa skuad Kelantan tahun ini di bawah pengurusan serta jurulatih baru.

Di samping itu katanya, skuad Kelantan kali ini juga diperkuatkan dengan beberapa pemain dari negeri lain yang pernah teruji keupayaaan mereka sama ada di peringkat kebangsaaan ataupun antarabangsa seperti pemain Kedah Khamal Idris Ali, Mohd Zaidi Napiah serta beberapa pemain lain.

''Sehubungan itu, saya sebagai jurulatih baru skuad Kelantan memohon mana-mana pemain yang bercadang untuk mewakili negeri-negeri lain dalam kejohanan yang bermula bulan Mac ini supaya memikir semula hasrat dan kembali semula menyarung jersi negeri ini,'' katanya selepas mengendalikan sesi pemilihan pemain skuad Kelantan di Padang Penjara, Pengkalan Chepa semalam.

Lebih 40 pemain tempatan dan dari negeri lain telah menyertai hari pertama sessi pemilihan yang akan diadakan sehingga 15 Januari ini.

Mengenai sambutan yang menggalakkan dari pemain tempatan menyertai sessi pemilihan tahun ini, beliau melahirkan rasa kagum dengan sambutan yang diberikan oleh pemain-pemain muda tersebut.

''Saya dapat melihat, kegigihan serta semangat tinggi yang ditunjukkan oleh pemain muda yang menyertai latihan hari ini dan ianya merupakan satu perkembangan positif terhadap mutu bola sepak Kelantan Darulnaim,'' katanya.

Ditanya mengenai misi utamanya pada musim ini, Mosthakeen berkata, hasrat utamanya sekarang adalah untuk mengembalikan semula prestasi bolasepak Kelantan ke tahap yang sewajarnya yang pernah dikecapi pada tahun-tahun sebelum ini.

''Saya akan cuba menggunakan segala pengetahuan dan pengalaman yang ada untuk membentuk pasukan bola sepak Kelantan sebagai sebuah pasukan yang baik dan mampu bersaing dengan lain-lain pasukan dalam Liga M nanti,'' katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PiDX2dz9 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan