Selasa, 8 November 2016

The Red Warriors berwajah baharu

Enam pemain berhijrah, sebahagian dalam rundingan
YATIMIN ABDULLAH  |  04 November 2016 12:11 AM
KOTA BHARU 3 Nov. - Kelantan dikhabarkan ba­kal berwajah baharu musim depan apabila sekurang-ku­rangnya enam pemain utama akan berhijrah, manakala sebahagian lagi dalam proses perbincangan untuk menyambung kontrak.
Antara pemain yang dikatakan tidak akan lagi bersama The Red Warriors ialah tiga tonggak import iaitu Jonathan McKain, Blazhe Ilijoski dan Wander Luis Bitencourd Junior, manakala Brenden Gan dikhabarkan tidak ditawarkan kontrak baharu disebabkan kece­deraan panjang.
Pemain lain yang turut dikatakan bakal meninggalkan Kelantan ialah Wan Zack Haikal Wan Noor, Wan Zaharul Nizam, Muslim Ahmad, Mohd. Nor Hazrul Mustafa dan Mohd. Faizal Abu Bakar.
Dalam masa sama, kedudukan kap­ten Mohd. Badhri Radzi serta penyerang, Mohd. Nor Farhan Mohamad juga masih me­nimbulkan tanda tanya kerana kontrak mereka tamat hujung tahun ini dan kedua-duanya dikaitkan dengan perpindahan ke Melaka United.
Menurut sumber, Kelantan mungkin menggunakan sebahagian besar tenaga anak muda da­ri skuad Piala Presiden yang baru sahaja merangkul kejuaraan baru-baru ini.
“Saya lihat pemain yang membarisi pasukan berkenaan mempunyai masa depan cerah sekiranya digilap dengan betul
“Hampir separuh pemain bertaraf bintang yang beraksi bersama Kelantan musim ini dikhabarkan bakal meninggalkan pasukan ini untuk Liga Malaysia (Liga M) 2017.
“Ada (pemain) yang sudah tamat kontrak, namun diberi tawaran baharu tetapi menolak dan ada juga tidak diberi tawaran baharu,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.
Kata sumber itu lagi, pemain tersebut berhak menentukan masa depan mereka dan Persa­tuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak mempunyai halangan sekiranya mahu berbuat demikian.
Tambahnya, langkah menggunakan pemain muda juga sebagai salah satu cara penjimatan.
Dalam perkembangan lain, sumber itu berkata, Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa dijangka membuat 'kejutan besar' minggu hadapan dalam usaha memulihkan semula keyakinan peminat.

-SUMBER See more at: https://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/i-the-red-warriors-i-berwajah-baharu-1.403155#sthash.DGoXzvNT.dpuf

Tiada ulasan :

Catat Ulasan