Sabtu, 12 November 2016

Kelantan ikat Nidzam dua tahun

ARKIB : 01/02/1999
KELANTAN terus memperhebatkan persiapan mereka untuk bersaing mengharungi musim baru bola sepak Liga Malaysia tahun ini dengan mengesahkan penyertaan Mohd. Nidzam Adzha.

Bekas pemain Kedah dan kebangsaan itu semalam menandatangani kontrak untuk tempoh dua tahun bersama Persatuan Bola sepak kelantan (KAFA) di Kota Bharu.

Dua lagi pemain Kedah, seorang bekas pemain Kuala Lumpur dan seorang bekas Negeri Sembilan turut menandatangani kontrak bersama pasukan Kijang dalam satu upacara rasmi yang diadakan semalam.

Dua bekas pemain Kedah selain Nidzam yang menyertai pasukan itu ialah Khamal Idris Ali dan Yeow Choh Hooi. Bekas pemain Kuala Lumpur, Tan Cheng Ho dan Zaidi Napiah bekas pemain Negeri Sembilan turut menyarung jersi Kelantan musim ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Wan Hashim Wan Daud ketika mengesahkannya berkata, mereka menandatangani kontrak itu selepas beberapa hari sambutan Aidilfitri di Kota Bharu untuk tempoh selama dua tahun.

Katanya, pemain-pemain tersebut kini sudahpun memulakan latihan bersama barisan skuad Kelantan musim ini di bawah jurulatih baru, Mosthakeen Omar.

Katanya, dengan pemilihan lima pemain itu, Kelantan hanya perlu mencari seorang sahaja lagi pemain luar untuk beraksi bersama skuad itu bagi musim ini.

''Soal mencari pemain luar hampir selesai tinggal lagi kami memikirkan untuk memperkemaskan barisan skuad supaya ia benar-benar mantap,'' katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, menaruh keyakinan dengan penyertaan pemain-pemain yang mempunyai pengalaman itu skuad Kelantan musiam ini akan bangkit.

Ditanya soal bayaran kepada pemain-pemain berkenaan, beliau berkata, soal gaji pemaian adalah biasanya.

Menurutnya lagi, setakat ini hanya tinggal beberapa orang sahaja lagi pemain anak tempatan yang belum menandatangai kontrak yang dipercayai selesai dalam sehari dua ini.

''Antara pemain itu termasuklah Hashim Mustapa,'' tambahnya.

Sementara itu, Nidzam ketika ditemui selepas menjalani latihan di sini menyatakan, beliau berjanji untuk membantu kejayaan skuad Kelantan bersama rakan-rakan lain.

Katanya, beliau akan mencurahkan segala pengalaman selama ini iaitu dengan Kedah (enam musim) dan Perak (lima musim) untuk membawa Kelantan ke Perdana Satu.

Ditanya kenapa beliau meninggalkan Kedah, pemain penyerang itu secara terus terang menyatakan, tindakan itu disebabkan kecewa dengan sikap pengurusan.

''Saya tidak mahu cakap banyak kerana kecewa saya tinggal Kedah yang sememangnya hati saya amat berat untuk berbuat demikian,'' ujarnya.

Beliau mengakui jurulatih Kedah cuba berusaha untuk mengekalkan beliau dalam skuad Kedah musim ini tetapi apa boleh buat pihak pengurusan menolak.

''Sebenarnya saya sempat menjalani latihan kira-kira 11 hari dengan Kedah. Bagaimanapun yang menghairankan penolakan saya tidak diberikan apa-apa alasan. Mungkin saya tidak pandai bodek...,'' jelas.

SUMBE-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PrpSGKxs © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan